WANGSA MAJU – Tempoh akhir bulan kebiasaannya pasti ‘poket kering’.

Ironinya, ketika tempoh itulah, ramai yang mencari sesuap nasi yang lebih murah daripada biasa, kerana terpaksa berjimat.

Pemilik rangkaian restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, menyedari situasi ini apabila menyediakan Menu Rahmah sejak beberapa bulan lalu.

“Permintaan menu Rahmah meningkat setiap hujung bulan, bukan sahaja golongan B40 tetapi juga membabitkan M40.

“Biasanya 60 pek menu Rahmah sehari tetapi jumlah meningkat sehingga 100 pek sehari di satu cawangan, apabila tiba tempoh hujung bulan.

“Ali Maju ada 18 cawangan dan inilah purata permintaan yang kami terima.

“Minggu pertama, minggu kedua setiap bulan biasanya tak ramai yang minta tetapi dari minggu ketiga hingga ke empat memang nampak pertambahan permintaan yang ketara,” katanya mengenai purata set Menu Rahmah yang dilancarkan di bawah agenda Payung Rahmah kerajaan Membangun Malaysia Madani.

Jawahar Ali juga mendedahkan, ada yang bertanya kepada beliau adakah Menu Rahmah disediakannya mempunyai kuota penyediaan.

“Ramai tanya ada kuota ke menu Rahmah? Saya jawab tiada had tertentu selagi ada permintaan kita bagi.

“Menu Rahmah adalah satu bentuk sedekah, selagi diberi keupayaan tiada isu untuk teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya bertempat di Maahad Tahfiz Al Faridiyah Setapak.

Terdahulu, Jawahar yang juga pengerusi maahad berkenaan menyampaikan pek makanan juadah berbuka puasa kepada 2,000 hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman baharu, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang berkuatkuasa 16 April ini.

Awal tahun ini, kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, menu yang akan ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menggalakkan peniaga kecil-kecilan dan gerai jalanan untuk terbabit dalam jualan Rahmah sebaliknya mengesyorkan pelaksanaan ke atas jenama besar, pengusaha atau pemborong yang besar.