Putrajaya, 8 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius berkenaan isu tular yang mendakwa berlakunya kes penderaan kanak-kanak di sebuah TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dalam pengurusan TASKA, bidang kuasa JKM adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 iaitu membuat pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA.

Hasil pemeriksaan JKM pada 29 Mac 2023, didapati telah berlaku ketidakpatuhan kepada Akta TASKA 1984. Dengan itu, pengusaha telah diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera dan dalam proses penutupan sementara bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di TASKA tersebut.

Namun demikian, dalam isu keselamatan kanak-kanak, KPWKM melalui JKM merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab Pengusaha TASKA untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan TASKA.

Sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis perlu dibuat. Dalam isu Taska yang tular ini, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

Kementerian meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak–kanak kepada pihak berkuasa PDRM atau menghubungi Talian Kasih di nombor 15999 dan Aplikasi WhatsApp 019–2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau terus mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat.

Leave a Reply