KUALA LUMPUR – Ramadan adalah bulan di mana rata-rata Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengambil peluang melakukan kebajikan dan membantu golongan terpinggir.
NGO Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) juga tidak tertinggal melakukan usaha murni dengan mengadakan majlis berbuka puasa kepada 200 jemputan khususnya anak yatim dan asnaf.
Bertempat di Seri Pacific Ballroom, WTC pada Jumaat, anak-anak asnaf sekitar Lembah Klang diraikan bersama gabungan NGO lain dibawah YIR.
Ketua Pegawai Eksekutif YIR, Datuk Rozzana Rahmat turut menyampaikan sampul duit raya kepada setiap anak yatim dan asnaf.
Mereka diraikan dalam Majlis Mega Haflah sempena Sambutan Nuzul alQuran ‘Meraih Keberkatan Ramadan, Bergema Takbir Syawal’.
YIR sebelum ini, turut mengambil kesempatan dengan bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) untuk mengadakan program sumbangan kepada golongan asnaf, sekali gus menggalakkan rakyat membuka akaun TH dengan kadar minimum RM2 sahaja.
Pada program itu, YIR dan TH menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, susu, sirap, sardin, kepada kira-kira 100 orang yang betul-betul asnaf di pekarangan Surau AsSyakirin, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini.