KUALA LUMPUR – Lebih 1,200 penduduk termasuk miskin bandar sekitar Kampung Baru menerima agihan sumbangan berbentuk barangan makanan dan juadah berbuka, di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Buletin FM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd dan Parlimen Titiwangsa pada program Ramadan Madani: Titipan Kasih.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Hasan, berkata sejumlah 220 bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, susu, garam dan gula disumbangkan kepada penduduk dalam golongan miskin bandar.
Katanya, sejumlah 1,000 juadah pek makanan untuk berbuka puasa turut disumbangkan kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
“Kita memilih Kampung Baru kerana fokus kita adalah membantu golongan miskin bandar dan asnaf sebagai sebahagian program sumbangan sempena Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.
“Selain program hari ini, kita juga akan memperluaskan sumbangan ini kepada golongan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sabtu ini.
“Semoga projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung golongan yang memerlukan, dengan hasrat kita untuk membantu dan berkongsi rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru di sini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Kehadiran pengacara terkenal, Awal Ashaari dan selebriti, Zoey Rahman, selain penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan yang bersama-sama mengagihkan bakul makanan dan pek iftar, memeriahkan lagi suasana program.