SHAH ALAM – Kira-kira 100 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shah Alam menerima sumbangan Kotak Infaq MY#INFAQIHSAN sempena keberkatan bulan Ramadan di Pusat Khidmat Ahli Majlis Mesyuarat Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8, Seksyen 24, di sini.
Sumbangan kerjasama oleh JKM, MPP Zon 8 dan Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) itu sekali gus merealisasikan hajat Pengerusi MY#INFAQIHSAN kepada golongan bersasar.
Pengerusi MY#INFAQIHSAN, Datuk Rozzana Rahmat, berkata penerima sumbangan berkenaan beroleh barangan asas dapur yang akan membantu memanjangkan lagi hayat keperluan makanan.
“Mereka dapat beras, gula, tepung, susu, sardin yang kita kita makanan rutin rakyat Malaysia, dan keperluan asas ini sangat penting kerana ia sekurang-kurangnya dapat menambah keperluan asas mereka di dapur.
“Jadi kali ini kami menyantuni golongan penerima JKM dan terima kasih kepada JKM dan MPP Zon 8 kerana menyempurnakan hajat kami di bulan mulia,” katanya.
Rozzana yang juga Ketua Pegawai Eksekutif YIR berkata demikian kepada pemberita pada program berkenaan.
Turut hadir, Pegawai JKM Shah Alam, Zulkifli Mat Isa; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MPP Zon 24, Nur Aisyah; Ahli Majlis MPP Zon 8, Aswani Abdullah; dan Ketua Unit Perkhidmatan Komuniti PKMC Shah Alam, Muhammad Faezal Azman.
YIR sebelum ini, meraikan 200 jemputan khususnya berdama anak yatim dan asnaf sekitar Lembah Klang di Seri Pacific Ballroom, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat.
Mereka diraikan dalam Majlis Mega Haflah sempena Sambutan Nuzul alQuran ‘Meraih Keberkatan Ramadan, Bergema Takbir Syawal’.
YIR juga mengambil kesempatan dengan bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) untuk mengadakan program sumbangan kepada golongan asnaf, sekali gus menggalakkan rakyat membuka akaun TH dengan kadar minimum RM2 sahaja.
Pada program itu, YIR dan TH menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, susu, sirap, sardin, kepada kira-kira 100 orang yang betul-betul asnaf di pekarangan Surau AsSyakirin, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil dekat sini.