SELAYANG, 23 Jun 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menggerakkan seramai 2,200 anggota penguatkuasa seluruh negara untuk menggempur aktiviti menyorok barangan terkawal susulan kerajaan telah mengumumkan pengapungan beberapa harga barang berkuatkuasa 1 Julai 2022 ini bagi memastikan barang makanan negara mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, langkah itu penting bagi memastikan bekalan makanan terkawal dan sentiasa mencukupi dengan harga berpatutan.

“Mana-mana individu dan syarikat yang didapati terbabit dengan aktiviti penyorokan harga barangan kawalan ini, Kementerian (KPDNHEP) akan mengenakan tindakan yang tegas terhadap mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, mana-mana individu dan syarikat yang terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti menyorok barang kawalan akan dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta) selain pihak KPDNHEP juga akan menggantung dan membatalkan lesen kepada pemegang-pemegang lesen sekiranya didapati terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang ini, katanya ketika Sidang Media selepas meninjau stok dan harga barangan Kawalan di pasaraya NSK Trade City Selayang disini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Roziah Abudin serta Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam.

Pihak-pihak berkaitan juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan barangan kawalan/subsidi. Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Bagi memastikan industri dan peniaga barang kawalan dan keperluan asas sentiasa cakna dengan tanggungjawab untuk memastikan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi dan sentiasa berada di pasaran dan bagi mengelakkan berlakunya aktiviti penyelewengan melalui penyorokan barang-barang kawalan daripada berlaku, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP melaksanakan Ops Anti-Sorok Barang Kawalan.

Pelaksanaan Ops Anti-Sorok ini dilihat menunjukkan impak positif di kalangan pengguna dan peniaga. Bermula pada Januari 2022 hingga 22 Jun 2022, sebanyak 13 aduan sorok barang kawalan diterima oleh KPDNHEP, manakala dari aspek peniaga pula, tiada kes dilaporkan berkaitan kesalahan menyorok barang kawalan.

Hasil pemeriksaan harian oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP sehingga 22 Jun 2022 juga mendapati DDR yang diperiksa mempunyai bekalan barang-barang kawalan dan keperluan asas terpilih yang stabil dan mencukupi. Pengedaran barang kawalan di peringkat DDW dan pengeluaran barang kawalan di peringkat DDM juga menunjukkan mengikut keperluan pengguna. Untuk rekod sepanjang Tahun 2022 sehingga 22 Jun sejumlah 158,064 pemeriksaan telah dibuat ke atas DDR, DDW dan DDM oleh anggota penguat kuasa seluruh Negara.

Oleh itu, Pengguna disaran untuk menjadi mata dan telinga bagi pihak kerajaan (pihak berkuasa) agar memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi ini bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada Keluarga Malaysia dan Negara.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Leave a Reply