SHAH ALAM – Kertas siasatan dan representasi kes ibu kepada bekas pelajar madrasah yang didakwa membuat laporan polis palsu terhadap premis milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di Mahkamah Majistret, di sini, dirujuk ke Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya untuk pertimbangan.

Peguam bela, Ahmad Safuan Hazalan dari Tetuan Hanif & Co, berkata penangguhan kes terbabit dibawa sehingga ke pihak AGC, dipercayai kemungkinan kerana amalan atau arahan pihak berkenaan jika sesuatu kes mendapat liputan sehingga tular atau perhatian masyarakat yg diklasifikasikan sebagai kes ‘public interest’ atau kepentingan awam.

“Kita beri sedikit masa lagi bagi pihak AGC pertimbangkan representasi ini dan kita akan ikut segala ‘due process’ perundangan negara ini.

“Pihak pembelaan percaya representasi yg difailkan mempunyai merit,” katanya kepada pemberita, mengulas mengenai rujukan ke AGC, ketika ditemui di pekarangan mahkamah, di sini.

Ibu bekas pelajar terbabit yang juga seorang rumah, Zuraina Zamri, 45, turut hadir.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman, memohon pihak mahkamah untuk menangguhkan prosiding hari ini bagi memberi laluan permohonan kertas siasatan dan representasi kes dirujuk ke pihak sana.

Katanya, sebarang keputusan terhadap permohonan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan itu akan diputuskan oleh AGC.

Nurul Farah Sofea turut memberitahu, siasatan laporan perubatan berkaitan bekas pelajar madrasah itu juga selesai.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan permohonan berkenaan dengan menetapkan prosiding ditangguh ke 15 Jun depan.

Ia bagi mendengar jawapan keputusan representasi yg difailkan oleh peguam bela tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan, laporan perubatan bekas pelatih sebuah madrasah di Shah Alam menunjukkan wujud kecederaan dan trauma dipercayai didera.

Dokumen itu dikeluarkan seorang doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 11 November tahun lalu.

Ia berbeza dengan kenyataan media Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada 26 September tahun lalu di mana beliau menafikan dakwaan penderaan terhadap seorang pelatih di Pertubuhan Kebajikan Darussolihin ketika itu.

Mohd Iqbal dilaporkan berkata siasatan telah dilakukan terhadap pelatih berkenaan di Hospital Shah Alam, Selangor namun tiada kecederaan ditemui pada mangsa.

Susulan daripada siasatan itu, pengadu iaitu ibu kepada bekas pelatih madrasah berkenaan yang membuat laporan polis pada 21 Ogos 2022, telah dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun peguam Muhammad Izzat Irfan Taib dari firma sama yang mewakili pengadu, Zuraina Zamri berkata, bekas pelatih berkenaan tidak pernah dibawa ke Hospital Shah Alam sebagaimana kenyataan polis pada September lalu.

Sebaliknya bekas pelatih dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan laporan perubatan keluar pada November lalu.