KUALA LUMPUR –  Meskipun kehadirannya ke Malaysia bagi merakamkan single bersama komposer dari Korea Selatan yang menetap di sini, penyanyi sedang meningkat naik di Indonesia, Tiara Andini turut mengambil peluang untuk menjelajah sekitar Kuala Lumpur disamping mencari makanan yang menarik.


”Kehadiran saya ke sini untuk merakamkan single terbaharu yang dicipta oleh Hyuk Shin yang kebetulan menetap di sini.

“Ini adalah single rancak bergenre Kpop yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

“Saya teruja dan tidak sabar untuk melancarkannya dan jika tiada halangan single ini akan saya persembahkan pada konsert saya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Jun nanti,” katanya.

Tiara ditemui pada sesi bertemu media di ibu kota baru-baru ini berkata, dia begitu teruja apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

Kata pemilik nama Tiara Anugrah Eka Setyo Andini ini, dia turut mengambil peluang berjalan-jalan di bazar Ramadan sekitar ibu kota mencari makanan menarik.

“Saya suka ‘street food’ dan apabila dapat peluang datang ke sini saya tidak sabar untuk berjalan-jalan mencari makanan yang menarik.

“Saya tahu Malaysia adalah negara yang banyak makanan dan saya mahu mencubanya,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan konsertnya di Kuala Lumpur, Tiara berkata, biarpun sudah biasa membuat persembahan di Indonesia, perasaan gementar itu tidak boleh dielak.


“InsyaAllah konsert ini akan berlangsung pada Jun nanti. Rasa teruja dan dalam masa yang sama gementar apatah lagi dalam persembahan yang berskala besar dan ini persembahan pertama kali saya di sini,” katanya.

Tiara berkata, dia yakin untuk mengadakan konsert di sini berikutan sering berinteraksi dengan peminat di Malaysia dan ramai yang memberi sokongan untuknya mengadakan persembahan di sini.

Sementara itu, Tiara berkata, dia tidak mahu disamakan dengan teman seangkatannya seperti Lyodra dan Ziva Magnolya dan akui selesa menjadi diri sendiri.

Bukan cemburu, sebaliknya Tiara mengganggap setiap penyanyi punya cara dan penampilan dalam persembahan masing-masing.

“Mereka adalah teman seperjuangan saya dan saya menghormati cara masing-masing, namun saya berharap jangan disamakan dengan mereka.

“Setiap kami punya cara dan pembawakan sendiri dalam muzik yang kami bawa, saya tidak mahu disamakan hingga menimbulkan cerita yang kurang enak.

“Saya berharap peminat menyokong karier kami tanpa ada perbandingan,” katanya.


Dalam pada itu, Tiara baharu sahaja melancarkan single cover berjudul Menyesal bersama Yovie Widianto, Lyodra dan Ziva Magnolya.

Lagu ciptaan sepenuhnya Yovie Widianto itu adalah nyanyian asal Ressa Herlambang dan meraih 19 juta tontonan sejak dimuat naik di saluran YouTube pada 3 Mac lalu.

By Cynthia

Leave a Reply