KUALA LUMPUR – Penganjur Karnival Hoorrey X Fest Raya kali ini membuka tawaran mega dengan menawarkan harga ‘Rahmah Plus’ kepada mereka yang ingin menambah pendapatan sebelum menjelang Aidilfitri ini.

Harga permulaan yang ditawarkan sebanyak RM1,500 bagi satu tapak gerai sebelum ini, kini diturunkan kepada RM900 bagi karnival berkenaan yang bakal berlangsung pada 18 April sehingga malam raya, dalam tempoh 72 jam.

Sementara bagi gerai RM3,500 pula direndahkan kepada RM1,800 manakala RM12,000 kepada RM5,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim, penurunan harga itu mengambil kira keluhan ramai peniaga yang disuarakan kepadanya.

Katanya, ia sekali gus pihak pengurusan bersetuju untuk menurunkan harga daripada kadar ditetapkan bagi membantu golongan peniaga dan usahawan yang akan terlibat nanti.

“Saya faham mungkin ada peniaga yang akan marah dengan kita sebab ada yang sudah membeli booth lebih awal, tetapi istimewa untuk mereka, boleh menambah RM500 sahaja untuk mendapatkan satu lagi booth, jadi mereka boleh menjual apa sahaja barangan yang mereka ingin jual dengan harga rahmah, semua akan buang harga pada karnival itu.

“Untuk RM900 ini, ia hanya terbuka untuk 40 booth sahaja, kita pun sudah memperbesarkan lagi ruangan jualan daripada perancangan asal, kita akan ada dua pentas utama di dewan 3 dan 4, di koridor tingkat 4 juga kita ada food truck, jadi pilihan yang banyak menanti para pengunjung,” katanya pada sidang media di sini.

Mohammad Alif berkata, festival tersebut mendapat kerjasama penuh Kelab Usahawan Selebriti Malaysia (KUSM) dan Artist Corner.

Barisan artis yang terlibat termasuk Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Cat Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, Rahmat Mega, Sasha Aziz dan ramai lagi.

Sebelum ini, Mohamad Alif memaklumkan, pihaknya tidak berhasrat untuk bersaing dengan mana-mana pihak yang sebelum ini pernah menganjurkan festival seumpamanya, dengan tidak menumpukan sebarang sasaran pengunjung.

Sebaliknya, pihak mereka hanya menyambut baik pendekatan Malaysia Madani yang berkonsepkan ‘Rahmah’ dalam hampir semua program kerajaan yang mengutamakan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) kian mendapat sambutan daripada rakyat.

Jelasnya, walaupun konsep itu bermula dengan Menu Rahmah, namun usaha untuk membantu rakyat berdepan dengan kenaikan kos sara hidup itu, kini dilihat semakin diterima pemain industri dalam perniagaan mereka.

Majlis perasmian dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan

Sebarang maklumat lanjut, hubungi Boy (011-3573 3060), Zai (010-2620078) dan Shawn (011-5550 5017).