KAJANG – Ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil kesempatan untuk beramal lebih ketika Ramadan dengan memberi bantuan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim.
Sebenarnya, ada yang terlepas pandang, bahawa ada insan lain memerlukan di sebalik tirai besi juga mahu meraikan keberkatan bulan itu bersama.
Justeru, pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bekerjasama dengan pelbagai NGO bagi menyampaikan Sumbangan Pengagihan Pek Makanan kepada kira-kira 2,000 Penghuni Penjara Kajang sempena Keberkatan Ramadan, pada Jumaat, di sini.
NGO terlibat adalah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hasani Group, Sahabat Serantau Malaysia, Restoran Anis Putri Pantai (M) Sdn Bhd, dan Kedai Ayam Gepuk Pak Gembus.
Menariknya, bekas isteri jutawan, Emilia Hanafi turut hadir memberi bantuan perseorangan pada program itu.
Emilia adalah bekas penghuni penjara sama yang pernah menjalani hukuman selama seminggu kerana menukar ganti tarikh lawatan ketiga-tiga anaknya, pada Jun 2022.
Penganjur program, yang juga wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi berkata, urusan penganjuran program berkenaan terus dipermudah sehingga ada yang meminta identiti penyampai sumbangan dirahsiakan.
“Idea ini mulanya datang bersama seorang wartawan bernama Yati yang mahu menggembirakan penghuni penjara. Saya percaya dengan cara ini, kita dapat menggembirakan mereka.
“Jadi, saya berharap selepas ini ada lagi pihak luar yang terus datang menyumbang kepada penghuni penjara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Gulab Jan turut mewakili pihak Hasani Group menyampaikan sumbangan selain Ketua Muslimah GISB Selangor, Saidah Nafisah Ashaari; dan Ketua Pemasaran Ayam Gepuk Malaysia, Mohd Effandy Saadon.
Kesemua sumbangan itu disampaikan kepada Penolong Kanan Komisioner Penjara Kajang, Zalina Mohd Yunus dibantu Penolong Penguasa Naterah Abdullah.
Sementara itu, Mohd Effandy berkata pihaknya menyampaikan kira-kira 300 kilogram beras, dan menyifatkan kerjasama dengan pihak penjara adalah perkara yang tidak pernah terdetik di hati bahawa boleh melakukan sumbangan kepada penghuni di sana.
“Tahun sebelum ini kita sampaikan kepada asnaf, fakir miskin dan anak yatim. Tahun ini terdetik untuk kerjasama dengan PPIM yang berikan idea untuk sumbangkan beras kepada penjara wanita kajang.
“Kami rasa idea itu bagus kerana ini adalah salah satu tempat yang taj pernah terdetik dekat hati yang mungkin orang ini yang memerlukan.
“Tapi ramai orang fokus ke tempat yang ramai orang pergi, jadi kami cuba pergi yang kurang tempat sumbangan,” katanya.
Bagi Saidah Nafisah, sumbangan berkenaan diharapkan sumbangan berkenaan dapat memberi kegembiraan kepada penghuni penjara malah membuka peluang kepada mereka yang mahu bekerja dengannya jika berminat.