BANGI – Dalam sibuk mengejar urusan dunia, kumpulan Rahmatul Ihsan tidak lupa untuk mengajak umat Islam beramai-ramai menghayati isi kandungan Al Quran sekaligus membentuk diri menjadi pencinta kitab suci itu.
Pengasasnya, Datuk Rozzana Rahmat berkata, terdiri daripada kariah setiap negeri dan tenaga pengajar pusat pengajian agama, kumpulan ini menyampaikan makna dan penghayatan mengenai isi kandungan Al Quran kepada orang ramai.
“Tujuan Rahmatul Ihsan ini adalah untuk menghidupkan kembali jiwa-jiwa agar mencintai Al Quran kerana ia panduan hidup manusia.
“Ini kerana apabila akhir zaman banyak ujian tetapi apabila hidup kita terpandu dengan Al Quran segala masalah ada solusi.
“Al Quran adalah syifa, sumber kehidupan, hidup kita akan terpandu buat keputusan bijak apabila faham isinya, semak pengertiannya tak buat ikut rasa,” katanya kepada pemberita di Bangi Convention Centre (BCC), di sini
Beliau berkata demikian selepas menyertai slot Mega Haflah Bersama Rahmatul Ihsan di Konvensyen Jiwa Quran, “Hidupkan hati yang mati dengan Quran.
Kumpulan Rahmahtul Ihsan membacakan tiga surah pilihan pada program berkenaan.
Dalam pada itu, Rozzana yang juga Pengerusi MY#INFAQIHSAN berkata, Mega Haflah adalah jenama yang dianjurkan pihaknya.
“Antara program kami sebelum ini adalah mengadakan persembahan besar di Stadium Abdul Halim.
“Selepas Hari Raya kami akan adakan ‘mini roadshow’ ajak lebih ramai jadi pencinta Al Quran, menerusi platform ini kami sampaikan makna mesej-mesej dari surah pilihan Al Quran, ” katanya.