KAJANG – Sebahagian harta yang kita miliki bukan hak kita, sebaliknya kita mesti sampaikan kepada mereka yang mempunyai hak terhadap sebahagian harta kita.

Kita yang diberi rezeki melimpah ruah digalakkan untuk berkongsi dengan mereka yang berhak.

Demikian peringatan yang dititipkan Ketua Pegawai Eksekutif Kajang Plaza Medical Centre (KPMC), Datuk Saroni Judi.

Justeru, beliau amat menggalakkan sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang sudi bekerjasama dengan KPMC bagi meluaskan lagi capaian masyarakat sepanjang masa termasuk pada Ramadan/Syawal.

Katanya, tanpa masyarakat tiadalah KPMC kerana itulah yang dibawa oleh pihaknya dalam menerajui institusi perubatan swasta berkenaan.

“Saya juga menyeru kepada mereka di luar sana yang mempunyai bajet rendah, namun ada keinginan menyumbang kita bergabung dengan membentuk kerjasama lebih besar dan capaian lebih luas.

“Program agihan bubur lambuk memang jadi program wajib pada Ramadan setiap tahun dengan pelbagai rakan strategik dan sokongan, dan kali ini bersama anak-anak yatim sekitar Kajang.

“Kita juga sedang menyusun program pada Syawal ini, bersama rakan strategik, pemegang taruh dan yang bekerjasama dalam bidang perubatan,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Duit Raya kepada Persatuan Kebajikan Peribadi Mulia Sg Kantan; selain Pengagihan Bubur Lambuk di pekarangan KPMC yang mendapat kerjasama dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan rakan strategik lain.

Turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman dan isteri; Timbalan Pengerusi DMDI yang juga Timbalan Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Rajani Rajimin;
Pengerusi KOP Travel, Yang Mulia Raja Zulkifli Raja Ahmad; Sarjan Mejar MD Kapitah Mohammed Sulaiman dari Balai Kajang; bekas peserta program realiti, Daie Farhan dan rakan strategik lain.