KUALA LUMPUR – Susulan penganjuran Hoorrey X Fest Raya 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dibatalkan saat akhir, sehingga berlaku kekecohan dan tuntutan daripada peniaga, pihak penganjur akhirnya bersetuju untuk membayar semula kerugian.
Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi yang juga salah seorang vendor acara itu diminta orang ramai untuk membantu menjadi perantara antara tuntutan vendor dan penganjur.
Setelah perbincangan diadakan selama empat jam akhirnya penganjur bersetuju mencagarkan kereta miliknya bernilai RM180,000 bersama beberapa buah kereta ahli keluarga.
Proses cagaran itu dilakukan oleh Semboyan yang dilantik sebagai orang tengah dan pembayaran perlu dilunaskan dalam tujuh hari.
Beberapa laporan polis telah dibuat.
Sementara itu, penganjur utama, dipercayai pelakon, Boy Iman yang ditunggu-tunggu tidak muncul malah difahamkan sudah berada di Singapura.
HoorreyXFest Raya 2023 gagal kali ini dikatakan gagal disebabkan penaja utama tarik diri dan memberi kesan kepada ratusan peniaga menuntut kerugian.
Terdahulu, penganjuran acara Hoorrey X Fest Raya 2023 selama 72 jam yang menghimpunkan vendor jualan sempena raya Aidilfitri, pada 18 April, kecoh apabila acara itu dibatalkan pada saat akhir.
Acara yang dijadualkan itu berlangsung di WTC adalah anjuran Tenview (M) Sdn Bhd.
Tenview diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim.
Lebih daripada 100 vendor dilaporkan telah membuat pembayaran bernilai dari RM1,500 sehingga RM80,000 untuk sewaan tapak niaga namun mereka terpaksa ‘berputih mata’ apabila pihak penganjur masih belum memulangkan wang berkenaan sebelum ini.