KUALA LUMPUR – Dua lagi ditahan susulan kes penganjuran festival Hoorrey X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang tular minggu ini.
Dua individu terbabit masing-masing pengurus majlis dan seorang lagi pegawai pemasaran.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, penahanan kedua-dua suspek itu susulan tiga yang lain termasuk dua wanita yang ditahan awal minggu ini, bagi membantu siasatan.
“Kedua dua suspek masing-masing berusia 74 tahun dan 43 tahun, ditahan di ibu negara.
“Mereka kini telah direman selama empat hari bermula 21 hingga 24 April bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya dipetik MalaysiaGazette.
Bagaimanapun, tiga suspek awal telahpun dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan mereka.
Katanya, kerugian dianggarkan berjumlah RM80,800 setakat ini.
Tambahnya, polis akan mendapatkan lagi jumlah wang yang terlibat dalam penganjuran majlis tersebut dengan penahanan terbaharu ini.
Justeru, beliau menyeru mangsa yang terlibat dengan kes ini tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.