KUALA LUMPUR – Pelakon muda, Alya Iman, enggan lagi menipu netizen mengenai peribadi sebenar di media sosial.
Justeru, pelakon drama Senafas Rindu yang terkenal dengan imej bertudung pada awal kemunculannya dalam industri kira-kira empat tahun lalu, kini tampil dengan gaya rambut berkepuk warna perang, 1 Syawal lalu.
Sekian lama model itu merasakan, menipu orang ramai dengan mempamerkan imej berhijab di media sosial untuk mendapat pengikut dan sokongan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Alya dilihat mengenakan kurung moden biru dengan rambut panjangnya berwarna perang pada Aidilfitri pertama.
Alya berkata dia enggan terus menipu tentang diri sendiri di media sosial malah hanya mahu menjadi diri sendiri.
“Saya cuma mahu tunjukkan diri yang sebenar. Kenapa mahu menipu dalam media sosial? Sudah-sudahlah jadi hipokrit dan membohongi semua orang.
“Inilah diri saya yang sebenar. Terpulang untuk menerima dan jika tidak suka pun tak mengapa,” katanya dipetik Kosmo.
Sementara itu, anak kepada pelakon Ali Setan, Allahyarham Azmil Mustapha itu berkata, dia lebih selesa dengan imej tidak berhijab dan tidak mahu terus menipu semua orang.
Keputusan untuk tidak bertudung bagi memberi peluang orang ramai kenal dirinya yang sebenar bahkan lebih selesa tak bertudung dalam kehidupan seharian.
“Kali ini saya sedar dan tidak mahu menjadi hipokrit serta terus membohongi semua orang,” katanya.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada keluarga dan rakan baik.
“Tiada alasan yang khusus mengapa saya tampil tidak bertudung pada 1 Syawal lalu.
“Keputusan itu dilakukan selepas berbincang dengan keluarga dan teman rapat, mereka bersetuju sahaja,” katanya.
Terdahulu, nama Alya menjadi perhatian apabila didakwa menjalin hubungan dengan ahli perniagaan berstatus suami orang.
Menurut pelakon itu, dia dan ahli perniagaan itu sudah mengikat tali pertunangan namun memutuskan hubungan pada Mac 2020.
Kemudian, Alya bertunang dengan seorang duda dengan dua cahaya mata, Ridwan Rosli pada 2020 namun hubungan mereka terlerai selepas dua tahun.