KUALA LUMPUR – Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-45, cef selebriti, penyanyi, pelakon dan pengacara, Datuk Fazley Yaakob dilantik sebagai duta kepada dua jenama kesihatan berprestij, He Medical Clinic dan Boren Healthcare Group.
Fazley berkata, pelantikan itu adalah hadiah bermakna untuknya kerana dia seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa mementingkan kesihatan dalam menjalani kehidupan harian.
“Kesihatan lelaki adalah isu serius yang memerlukan perhatian profesional dan perubatan. Biarpun mungkin tabu dan tidak ramai yang sanggup berkongsi masalah. Mereka mungkin rasa tidak selamat dan bimbang.
“Di He Medical Clinic, keselamatan, privasi, dan rahsia terjaga dalam rawatan pesakit mereka. Mereka berusaha mencari penyelesaian yang disesuaikan untuk setiap pesakit, memberikan perasaan kasih sayang dan perhatian terhadap kesihatan dan kecergasan mereka.
“Pelantikan sebagai duta untuk setahun ini juga memberi peluang kepada saya dan He Medical Clinic meningkatkan kesedaran tentang masalah kesihatan lelaki kepada orang awam,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2021, He Medical Clinic adalah klinik am dengan tumpuan khas kepada kesihatan dan kecergasan lelaki.
Matlamat mereka adalah untuk menyediakan kaedah lengkap dan holistik untuk merawat masalah seksual lelaki seperti disfungsi erektil, pancutan pramatang, tahap testosterone.
Dengan kerjasama bersama duta, Fazley, He Medical Clinic berharap dapat menjadi pusat kesihatan lelaki pertama dan nombor satu di Malaysia.
Membangkitkan kesedaran bersama Fazley, diharapkan lebih banyak lelaki akan merasa selamat untuk mendapatkan bantuan profesional bagi masalah dan kesejahteraan mereka.
Perlantikan Fazley Yaakob sebagai duta jenama pada usia 45 tahun adalah penting untuk dicatat kerana beliau adalah perwakilan lelaki yang sihat dan bertenaga pada usianya, menjadi contoh teladan untuk semua lelaki dalam kumpulan umurnya.
Sementara itu, Fazley yang juga dilantik sebagai duta kepada Boren Healthcare Group turut mahu berkongsi kepentingan kesihatan dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan dengan gaya hidup sihat.
Pelantikan sebagai duta kepada jenama rangkaian kesihatan ini juga memberi peluang kepada selebriti versatil ini untuk menyuntik semangat masyarakat di luar sana menjaga kesihatan bersamanya.
“Saya banyak berkongsi aktiviti dan rutin gaya hidup sihat yang boleh juga diamalkan oleh peminat di luar sana. Pada usia 45 tahun, aktiviti senaman dan sukan pilihan adalah antara gaya penjagaan kesihatan yang baik.
“Malah, pemakanan dan pemeriksaan awal kesihatan juga memainkan peranan penting,” katanya.
Ditubuhkan pada 2017, Boren Healthcare Group meletakkan visi untuk mewujudkan eko sistem penjagaan kesihatan ulung di Malaysia.
Dibarisi pengamal perubatan, doktor dan pakar kesihatan dari pelbagai bidang perubatan, Boren Healthcare Group juga mahu mencipta pelan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan untuk meningkatkan kehidupan yang berkualiti.