SEREMBAN – Menyedari hakikat bahawa ekosistem pusat tahfiz bermasalah, Pertubuhan Akademi Al-Bayan (Al-Bayan) tidak mengharapkan bantuan dana daripada mana-mana pihak dan orang ramai semata-mata untuk terus melangsungkan hidup.
Ini kerana, Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, melihat kebanyakan pusat dakwah membabitkan tahfiz terus bergantung kepada dana pihak luar, tanpa sebarang modul tambahan seperti kemahiran yang boleh menjana pendapatan sendiri.
“Sebelum ini kita bina pusat dakwah, dan saya dapati masalah dihadapi hari ini, ekosistem pusat tahfiz pusat dakwah yang tidak mantap.
“Kita masih mengutip dana dan ia berterusan, jadi sampai bila kita mahu meminta? Jadi, kita tak nak tahap itu berlaku (lagi).
“Kita (pihak luar) tak boleh bantu setiap bulan, tapi kita nak bantu dengan cara betul, kita kena ubah ‘mindset’ mereka, malah tidak mahu masyarakat memberi persepsi bahawa tahfiz sama sering menerima dana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, di Majlis Rumah Terbuka Hari Aidilfitri Pertubuhan Akademi Al Bayan 2023, dihadiri kira-kira 250 mualaf bangsa India, Cina, Dusun-Kadazan, Dayak dan warga antarabangsa, di Dewan Masjid Bandar Baru Enstek, di sini.
Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Akademi Al Bayan, Al Bayan Global Sdn Bhd dan HD Group Sdn Bhd bertemakan ‘Raya Dalam Budaya’ meraikan komuniti mualaf berbilang kaum, diserikan dengan busana unik daripada etnik dan tradisi budaya masing-masing.
Pada majlis sama, turut dilancarkan program bersiri Selera Rasa Mualaf yang bakal bersiaran di saluran TV AlHijrah bermula pada 14 Mei ini, jam 8 pagi, setiap Ahad.
Justeru, Nur Mohammad Hadi berkata, pihaknya ada merangka projek antaranya melahirkan Saudagar Mualaf Al-Bayan, dengan memperkenalkan pelbagai produk seperti muruku, sambal, sup, dan kari.
“Projek ini untuk menyokong ekosistem (Al-Bayan) bagi meningkatkan ekonomi mereka sekali gus dapat keluar dari kepompong kemiskinan, seterusnya dapat membantu mualaf yang lain.
“Al Bayan mengambil inisiatif
mengeluarkan produk makanan sendiri iaitu Sambal Bilis TERlaak yang berpontensi sebagai janaan ekosistem Al Bayan.
“Apabila kami mengkaji maka kami dapati bahawa orang zaman sekarang suka melancong dan suka perkara yang cepat dan segera.
“Sebab itu sambal ikan bilis yang dinamakan TERlaak diperkenalkan bagi menyokong pembangunan Kompleks Tahfiz Dakwah Anak-anak Mualaf yang memerlukan dana sebanyak RM25 juta.
“Bukan itu sahaja apabila siap nanti kos pengurusan dan jagaan kebajikan anak-anak mualaf
juga perlu difikirkan dari sekarang bagi melahirkan daie mualaf akan datang supaya dapat berdakwah kepada bangsa mereka dengan menggunakan bahasa mereka sendiri,” katanya.
Katanya, tidak hanya penglibatan di lapangan, demi memastikan kebajikan mualaf terjaga, Pertubuhan Akademi Al Bayan yang sudah beroperasi lebih dua tahun juga dalam fasa membina Kompleks Pendidikan Islam Akademi Al Bayan yang berpangkalan di Pegoh, Melaka.