HD 1080p: Journalists take audio interview at press conference

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada Jumaat kecoh sebelum seorang pemberita sambilan sebuah portal atas talian dihalau keluar daripada membuat liputan bantahan terhadap agensi berkenaan.

Kehadiran pemberita sambilan wanita, Fhatihah berusia lingkungan 30-an tidak disenangi oleh pihak Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) yang membuat bantahan kepada SUHAKAM.

Ia dipercayai berpunca selepas pemberita itu memaklumkan mewakili sebuah portal berita yang pernah mendedahkan pembongkaran rumah pemulihan yang didakwa mendera dan mengurung pelajar secara salah dan tular di media sosial.

Difahamkan, pemberita itu hadir ke sidang media bantahan Rumah Pemulihan Akhlak Insani terhadap SUHAKAM atas jemputan terbuka daripada rakan pemberita sehari sebelum kejadian.

Selepas kira-kira 10 minit berada di lokasi, pada petang Jumaat, memaklumkan mewakili portal sebuah berita yang dikaitkan itu kepada salah seorang wakil pihak pembantah, pemberita berkenaan kemudian dipanggil wakil SUHAKAM keluar dari bilik sidang dan diminta untuk meninggalkan lokasi kerana dimaklumkan ada pihak tidak mahu dia membuat liputan terbabit.

Pemberita terbabit kembali masuk ke bilik sidang dan menyoal semula kepada wakil pihak pembantah kerana tidak berterus terang dan tidak memberi sebab kukuh dia tidak dibenarkan membuat liputan, sebelum beredar.

Bagaimanapun, hanya media tertentu dan vlogger dibenarkan membuat liputan berkenaan, yang kemudian didakwa ia diadakan secara tertutup.

Untuk makluman, liputan berkenaan membabitkan serahan notis surat bantahan pihak Pembela, Perkid, dan wakil Rumah Pemulihan Akhlak Insani, Rawang terhadap SUHAKAM di Ibu Pejabat SUHAKAM.

Surat bantahan itu meliputi memorandum Pembela membantah SUHAKAM menghasut pelatih rumah pemulihan berkenaan, sehingga berlaku rusuhan dan menyebabkan ia ditutup sementara.

Antara kandungan memorandum ialah mendakwa SUHAKAM hadir ke rumah pemulihan dan temuduga pelatih (pelajar), menghasut pelatih, dengan menggalakkan mereka untuk lari dari pusat, mengatakan bahawa ‘mereka ada hak untuk menentukan hidup’ dan ‘boleh mendakwa ibu bapa yang tidak memberikan pendidikan yang sepatutnya’.

Sementara itu, pihak media masih menunggu kenyataan daripada SUHAKAM berhubung liputan berkenaan.

Sebuah portal berita, MEDIA VARIASI sebelum ini mendedahkan secara eksklusif, sebuah madrasah yang kini namanya diubah kepada rumah pemulihan sehingga tular, selepas didakwa mengurung dan mendera seorang penghuni lelaki secara salah, di Shah Alam.

Laporan itu mendapat pelbagai reaksi daripada polis, SUHAKAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peguam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Isu itu turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam selepas berkongsi ulang siar hantaran, imej ‘PUSAT JAGAAN BERTOPENGKAN LOGO CAPAL NABI KAUT UNTUNG’ di Instagramnya sebelum ini.