Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dari California bergelar graduan termuda meraih lima ijazah.
Berbekalkan didikan secara ‘homeschool’, Clovis Hung berjaya melakukannya sehingga menamatkan pengajiannya bersama rakan sekelas lain di Kolej Fullerton.
Memetik laporan Keluarga, kejayaannya itu hasil inspirasi daripada remaja, Jack Rico, 16, menamatkan pengajiannya dengan empat ijazah pada usia 13 tahun.
Ini sekali gus menyaksikan rekod terbaharu milik Clovis sebagai graduan termuda dalam sejarah Fullerton.
Clovis kini memiliki lima ijazah Bersekutu Seni dalam Sejarah, Sains Sosial, Tingkah Laku Sosial dan Pembangunan Diri, Seni dan Ekspresi Manusia, serta Sains dan Matematik dari Fullerton.
Fullerton menyediakan program khas yang membolehkan pelajar menghadiri kolej mereka sambil melengkapkan kurikulum homeschool.
Clovis dan ibunya pada peringkat awal, mengakui sukar untuk melakukannya lebih-lebih lagi dengan pembahagian masa.
“Soalan pertama yang biasa ditanya oleh profesor dan rakan sekelas ialah berapa umur saya.
“Mereka terkejut dengan apa yang saya buat di sini dan sentiasa ingin tahu tentang markah kuiz dan peperiksaan saya.
“Namun, selepas itu, saya telah menunjukkan sikap yang serius terhadap pelajaran saya.
“Membuatkan mereka semua percaya pada keupayaan dan keazaman saya untuk mendapat gred yang baik,” kata Clovis.
Untuk maklumat, rekod tertinggi ketika ini disandang V.N. Parthiba, profesor India yang menghabiskan 30 tahun bagi memperoleh 145 gelaran akademik, diikuti Welin Kusuma dari Makassar Indonesia yang memperoleh 32 ijazah akademik dan bukan akademik selama 21 tahun.