editor@aatvnews.com
Foto Alfiearth Studio
SEREMBAN – “Ya, saya sudah sertai PAS,” itu reaksi pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, susulan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di media, sejak pagi tadi.
Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya sempena Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Dataran D’Cattleya, Senawang, malam tadi.
“Saya sertai PAS kerana saya percaya perjuangan yang dibawa PAS bukan sekadar retorik dan parti ini bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan.
“Malah selama saya bersama-sama Tan Sri (Annuar) di dalam MN, saya melihat kesungguhan beliau mahu menyatu padukan rakyat dan perjuangkan Islam dan Melayu tanpa mengenepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya.
Selaku Ketua Penerangan Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor, Eizlan akui, pengalaman politik lebih 50 tahun Pengerusi MN itu memberi aspirasi dan inspirasi kepada Eizlan untuk bersama-samanya.
Dalam pada itu, Tan Sri Annuar Musa, berkata kemasukan selebriti seperti Eizlan dilihat sebagai satu kesedaran dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Kalau dulu orang melihat yang menyertai PAS adalah golongan agamawan tetapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang dan juga dokongan dari bukan beragama Islam sendiri.
“Kita akan ada beberapa sesi berasingan pengumuman menyertai PAS bersama Eizlan. Malam ini adalah permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.
Selain Eizlan dan Annuar, PAS turut menerima keahlian baru lebih 3,000 orang dari seluruh negara, termasuk Datuk Fyzal Fauzy, mantan Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Luar, PU Raihan dan Dayangku Intan, semalam.
Turut hadir pada acara dihadiri lebih 10,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.