editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Lebih 24 tahun berada dalam industri radio tanah air, pengurus besar juga penyampai radio Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai  DJ Lin sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia dalam anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023, baru-baru ini.

Popular menerusi segmen Suria Cinta, DJ Lin berkata, dia bersyukur dan menganggap pengiktirafan itu sebagai bukti dirinya masih relevan meskipun berdepan kedatangan muka baharu dalam industri penyiaran radio.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada reader’s digest buat kali ketiga.

“Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana selepas lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai.

“Terima kasih buat pihak penganjur, Majalah antarabangsa, Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan-rakan media, peminat dari seluruh negara, juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang Penyampai Radio,” katanya.

DJ Lin berkata, dengan pengiktirafan ini dia akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya buat pendengar setia Suria Cinta.

“Ribuan terima kasih buat pendengar yang sentiasa menyokong Suria FM,” katanya.

Lebih menarik lagi, anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai bagi tahun ini adalah anugerah ke-13 buat DJ Lin.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang telah dipilih daripada 5 negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

By Cynthia

Leave a Reply