editor@aatvnews.com
PUTRAJAYA – Melihat pada keperluan dalam usaha memastikan pendidikan awal anak-anak istimewa diberi perhatian sewajarnya, Dr Ahmad Idham Nadzri, 51 menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliau sendiri, dikenali Pertubuhan Ibubapa Anak-Anak Istimewa atau PRISMA.
“Antara usaha awal Prisma adalah melalui usahasama dengan platform infaq digital, Rezeki Infaq. Di mana pihak mereka akan mewujudkan Tabung Sinar Firdaus.
“Sumbangan masyarakat kepada tabung ini melalui Rezeki Infaq akan digunakan sebagai dana untuk penubuhan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak di seluruh negara,” katanya.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PRISMA dan Rezeki Infaq telah berlangsung secara ringkas di Putrajaya, baru-baru ini.
Ahmad Idham berkata, pusat intervansi itu akan menyediakan pendidikan dan terapi khusus kepada anak-anak istimewa berusia 3 hingga 6 tahun.
Proses itu dilihat perlu terutama sebagai persiapan awal buat anak-anak istimewa yang bakal memasuki alam sekolah rendah kelak.
“Contohnya PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) di bawah Kementerian Pendidikan, saya tidak nampak ada koordinasi yang lebih sistematik dari sudut modul pendidikan khas di mana kita tahu sekolah PPKI hanya akan mengambil anak-anak istimewa bermula dari umur 7 tahun sahaja.
“Oleh itu, sebagai usaha awal dari pihak saya, PRISMA akan memainkan peranan penubuhan pusat intervansi itu. Malah sumbangan masyarakat melalui Tabung Sinar Firdaus turut digunakan untuk menaja anak-anak istimewa dari keluarga B40,” katanya.
Selain itu, beliau juga merancang untuk mewujudkan pelbagai program kesedaran dan latihan kepada ibubapa yang mempunyai anak istimewa di bawah PRISMA.