KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi pengurangan kadar sewa kepada penjaja dan peniaga kecil untuk enam bulan lagi bermula Julai 2022 sehingga Disember 2022 ini.

Menurut Timbalan Menteri KWP, Datuk Seri Jalaluddin Alias, DBKL sejak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 sehingga Mac 2022 telah pun pelbagai sumbangan dan inisiatif COVID-19 bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil yang terkesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Terdapat sepuluh (10) bentuk bantuan dan inisiatif telah diberikan di bawah kelolaan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP), DBKL yang menelan belanja atau pengurangan hasil sebanyak RM31,765,067.26.

“Walaupun bermula 1 April 2022 negara telah memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’, masih lagi terdapat rungutan daripada para penjaja dan peniaga kecil mengenai bebanan kos sara hidup yang terpaksa mereka tanggung kesan daripada impak ekonomi yang baru memasuki proses perkembangan secara berperingkat.

Tambah Jalaluddin, “Ia melibatkan 5,766 akaun yang berada dalam kategori pasar berbangunan dan pusat penjaja DBKL dengan anggaran pengurangan hasil sebanyak RM3,072,447.00 untuk tempoh pelanjutan pengurangan kadar sewa berkenaan.

“Pihak KWP dan DBKL berharap inisiatif pelanjutan ini mampu membantu para peniaga dan penjaja kecil yang terlibat untuk terus mengoptimumkan operasi perniagaan mereka, sekali gus membantu mengurangkan bebanan hidup di ibu kota, katanya.

Leave a Reply