editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Peminat siri superhero popular Jepun ciptaan Eiji Tsuburaya iaitu Ultraman pastinya teruja dengan penampilan istimewa barisan pelakon daripada francaisnya iaitu Ultraman Trigger, Ultraman Decker serta Ichika Kirino dalam sesi Live Show & Cast Talk di Ultraman Decker Final Tour: Journey to Blazar yang berlangsung pada 25 Jun lalu di Lalaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.

Penganjuran ini adalah acara rasmi Ultraman bersama peminat buat pertama kali di Malaysia hasil kerjasama di antara Astro Malaysia, Tsuburaya Productions dan Lalaport Kuala Lumpur untuk menjadikan siri superhero daripada Jepun ini sebagai tarikan utama pengunjung terutamanya kalangan kanak-kanak dan remaja.

Lebih menarik, acara ini turut memperkenalkan siri baharunya yang bertajuk Ultraman Blazar buat julung kalinya di Malaysia dengan mengadakan sesi sidang media bersama barisan pelakon siri francais popular itu yang dihadiri oleh Hiroki Matsumoto (Kanata Asumi), Raiga Terasaka (Kengo Manaka) dan Yuka Murayama (Ichika Kirino) bersama dengan wakil Astro (Ketua Kandungan Kanak-Kanak Astro, Farah Fauzana) dan Tsuburaya Productions (Pengurus Eksekutif Jabatan Perniagaan Antarabangsa, Kei Minamitani).

Ultraman Blazar menampilkan Ultraman Blazar, kemunculan wira baharu yang berasal dari objek astronomi ekstragalaksi yang berada jauh dari Bumi.

Manakala, kapten kepada SKaRD (Special Kaiju Reaction Detachment) yang ditubuhkan oleh Global Guardian Force (GGF) untuk menentang kemusnahan yang dilakukan oleh raksasa kaiju Bazanga, Gento Hiruma berganding bahu dengan Ultraman Blazar untuk menentang raksasa kaiju Bazanga yang semakin mengganas di bumi.

Siri ini dibintangi Tomoya Warabino dan Himena Tsukimiya.

Selain daripada itu, acara ini turut menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik untuk pengunjung termasuk kanak-kanak dan ibu bapa seperti kiosk penjualan barangan jenama Ultraman, inflatable playground untuk kanak-kanak bermain, sesi bergambar dan Meet & Greet bersama Ultraman, pameran berkonsepkan kostum Ultraman, paparan patung Ultraman dan Kaiju di pelbagai sudut di Lalaport Kuala Lumpur, tayangan siri-siri Ultraman serta persembahan aksi daripada barisan pelakon yang hadir.

Ultraman Decker Final Tour: Journey to Blazar berlangsung mulai 10 Jun hingga 2 Julai esok di Lalaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam.

Saksikan juga siri terbaharu mereka, Ultraman Blazar yang akan ditayangkan pada hari yang sama dengan Jepun, pada setiap hari Sabtu, mulai 8 Julai ini, jam 8.30 malam di saluran Astro Ceria (611).

Penonton turut boleh menyaksikan siri ini secara fleksibel melalui platform On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO serta ulangan pada setiap hari Isnin, jam 4.00 petang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ultraman Blazar, sila layari https://content.astro.com.my/.

By Cynthia

Leave a Reply