editor@aatvnews.com
Oleh : Azrul Hakimie Anuer , 9 Julai 2023

Pendebat UiTM bergambar bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli sebelum berlepas ke Sepanyol, kira-kira enam bulan lalu.

PENDEBAT dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) memahat sejarah selepas berjaya menjuarai Pertandingan The Australasian Intervarsity Debating Championships (Australs) yang berakhir, hari ini.

Pertandingan yang berlangsung di Krabi, Thailand itu menyaksikan, UiTM menewaskan Indira Gandhi National Open University dalam pertandingan akhir kategori Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL).

Selain itu, pendebat UiTM, Haikal Daniel Mohamad Hasli dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan akhir kategori ESL.

Pasukan UiTM diwakili oleh Wan Amirul Syakir Wan Ahmad Rafidi, Sarah Yasmin Aston Sofian dan Haikal Daniel yang merupakan pelajar dari Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam.

Namun begitu, siapa menyangka, kejayaan tiga pelajar ini didorong oleh sikap prihatin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suatu ketika pernah menghulurkan sokongan kepada mereka.

Menceritakannya, penganalisis politik, Shahbudin Embun memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa para pendebat ini memerlukan sokongan tambahan semasa pertandingan di Sepanyol kira-kira enam bulan lalu.

Katanya, tanpa berfikir panjang, Anwar telah mengarahkan Setiausaha Politik, Farhan Fauzi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menguruskan keperluan pendebat terbabit dalam masa cukup pantas.

“Semuanya terjadi dalam masa tiga, empat jam saja. Alhamdulillah walaupun anak-anak ini tak berjaya ketika itu (di Sepanyol) tetapi semalam mereka berjaya mendapat johan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Koordinator Debat UiTM, Azmi Mat ketika dihubungi UtusanTV mendedahkan, sokongan moral Perdana Menteri sedikit sebanyak menjadi pemangkin semangat kepada para pendebat.

Ujarnya, para pendebat UiTM tidak menyangka dalam kesibukan pemimpin nombor satu negara itu masih lagi sempat untuk memikirkan tentang mereka dan perkara ini menjadi pemangkin semangat untuk berjaya.

“Mereka (pendebat) rasa teruja kerana bukan calang-calang orang yang bagi sokongan, ia datang dari seorang Perdana Menteri. Mereka rasa berkobar-kobar untuk mengharumkan nama negara.

“Mereka tak rasa (sokongan Perdana Menteri) sebagai bebanan tetapi sebagai cabaran untuk mengharumkan nama Malaysia, di Krabi mereka gembira dapat letakkan nama Malaysia di pentas debat antarabangsa,” katanya.

Pertandingan ini disertai oleh 46 pasukan dari negara seperti Malaysia, Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, Bangladesh, India, Pakistan, Hong kong dan China.

Selain UiTM, pertandingan turut disertai Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – UtusanTV

Leave a Reply