Simpang Pertang, 26 Julai 2023 – Fokus terhadap perkembangan insani khususnya bagi kawasan Parlimen Jelebu akan dipertingkat dari semasa ke semasa.

Ahli Parlimen Jelebu, YB. Datuk Seri Haji Jalaluddin Bin Haji Alias berkata ia sebagai penghargaan jabatan atas sumbangan dan dedikasi yang tak terhitung warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan.

“Saya berasa bangga dapat meraikan warga pendidik yang telah berusaha keras untuk memberikan pendidikan terbaik khususnya buat generasi muda. Guru-guru di daerah Jelebu dan Jempol telah membuktikan dedikasi dan komitmen mereka dalam memajukan institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap untuk menyempurnakan majlis yang dihadiri seramai hampir 200 orang guru dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Jelebu dan Jempol yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu, di sini, petang tadi.

Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Dedikasi, Anugerah Kepimpinan Madani, dan Anugerah Guru Madani merupakan kategori-kategori utama dalam pengiktirafan kali ini. Para penerima anugerah dipilih berdasarkan prestasi mereka dalam mencapai kecemerlangan akademik, inovasi dalam proses pengajaran, dedikasi yang tulus terhadap pendidikan, kepemimpinan yang berpengaruh, dan kontribusi mereka dalam mendukung pembentukan watak yang mulia bagi generasi pelajar.

Dalam ucapan beliau, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias turut berharap agar penghargaan kali ini dapat menjadi inspirasi kepada warga pendidik untuk terus berusaha memberikan yang terbaik bagi pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Turut hadir, Tuan Mohd Razi Bin Mohd Ali, mantan ADUN kawasan Sg. Lui, Tuan Noor Azmi Bin Yusof, mantan ADUN kawasan Pertang, Encik Putra Bin Haji Hashim, Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Jelebu dan Jempol, Encik Mahat Bin Bujang, Pengerusi Persatuan Pengetua Malaysia Cawangan Jelebu, Encik Zulkornine Bin Shukor, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Jempol dan Encik Syed Zulkafli Bin Syed Ab. Karim, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Jelebu.

Leave a Reply