SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Lenggeng, Mohd Asna Amin menyifatkan kerusi yang dipertandingkan itu merupakan maruah UMNO kepada Negeri Sembilan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada penyandang kerusi berkenaan, Suhaimi Kassim dari parti Amanah, beliau optimis pengundi di DUN Lenggeng ini dapat menerima kehadiran beliau sebagai calon di situ.

“Saya bersyukur kerana diberi keyakinan untuk bertanding di DUN Lenggeng ini dan usaha yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO bersama kesepakatan dalam kerajaan perpaduan, untuk calon UMNO mewakili BN di DUN Lenggeng ini.

“Ini juga membuktikan kepada rakyat bahawa dengan perpaduan yang kukuh antara parti, kita akan menyakinkan pengundi bahawa BN dan kerajaan perpaduan sedia ada, adalah yang terbaik dan jaminan masa hadapan,’’ katanya selepas pengumuman calon bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kompleks Komuniti Desa Pantai, dekat Lenggeng, hari ini.

Turut mengiringi beliau di Pusat Penamaan Calon itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab rauf Yusoh, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Luqman Noor Adam, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Ma’arop dan Ustaz Suhaimi Kassim.

Sementara itu, Ab Rauf mahu semua jentera parti, sama ada dari Pakatan Harapan (PH) dan BN, sama-sama merapatkan barisan untuk memastikan calon BN DUN Lenggeng ini mencapai kemenangan besar.

“Kita sama-sama jentera perpaduan, dalam ini ada PH dan BN, kita rapatkan barisan dan pastikan calon DUN Lenggeng ini, Mohd Asna Amin, menang pada 12 Ogos ini.

“Jentera harus terus bekerja, jangan toleh ke belakang dan kita menang bersama dalam PRN ini,’’ katanya.

Terdahulu, hampir 1,000 penyokong gabungan jentera perpaduan, Pakatan Harapan dan BN telah berarak mengiringi calon ke pusat penamaan calon pagi ini.

Pada PRN kali ini, kerusi DUN Lenggeng menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Mohd Asna akan diberi saingan dari calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Fadli Che Me dan calon Bebas, Zul Azki Mat Sulop.

Leave a Reply