editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM dan penyampai Suria Petang, YBae Pah (Rara) telah merealisasikan impian seorang penghidap kanser otot tahap 4, Wan Muhammad Syahmi Ezan (adik Syahmi) dengan mempertemukannya bersama idola, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali pada 12 Julai lalu.

Menurut penyampai radio yang popular menerusi segmen Suria Petang gandingan bersama Tyzo itu, pertemuan adik Syahmi dan Safee Sali adalah salah satu inisiatif dari pihak Suria FM untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai anak-anak penghidap kanser.

“Sebenarnya semua terjadi secara kebetulan, macam orang kata jodoh kerana sewaktu berkunjung ke rumah adik Syahmi bagi projek bersama klien Suria FM sebelum ini, saya ada tanya padanya tentang keinginannya yang belum tercapai.

“Ternyata, adik Syahmi berhasrat untuk berjumpa dengan Safee Sali dan mujur saya mengenalinya. Saya sangat gembira dapat mempertemukan adik Syahmi dan idolanya, semoga hubungan baik antara mereka ini berterusan sekaligus dapat membahagiakan adik Syahmi,” katanya.

Sementara itu, Safee berkata, dia sangat gembira dapat meluangkan masa bersama kak Rara dan adik Syahmi sekeluarga.

“Pada mulanya, semasa saya dijemput dan diberitahu oleh kak Rara dan Suria FM mengenai adik Syahmi saya sangat berbesar hati apabila dia meminati saya walaupun dalam keadaannya yang lemah.

“Buat adik Syahmi, saya doakan dia tidak pernah berputus asa, sentiasa berfikiran positif kerana tiada apa yang mustahil di dunia ini.

“Saya akan cuba sedaya upaya memberikan sokongan moral buat adik Syahmi untuk terus bangkit melawan sakitnya dan kepada Suria FM juga Kak Rara, terima kasih untuk inisiatif sebegini bagi merealisasikan impiannya.

“Semoga pendekatan ini dapat memberikan impak positif kepada orang ramai untuk turut membantu pejuang kanser di luar sana,” katanya.

Dalam pada itu, ibu adik Syahmi, Masyitah, turut meluahkan rasa syukur diatas peluang yang diberikan buat anak bongsunya dan tidak menyangka hasrat anaknya itu akan tercapai.

“Saya sangat bersyukur dan terharu apabila impian anak saya, Syahmi tertunai kerana sememangnya dia mempunyai hasrat sejak dahulu lagi untuk bertemu Safee Sali.

“Semuanya bagai mimpi dan saya percaya ini rezeki anak saya kerana ia berlaku secara tiba-tiba selepas program temubual bersama Kak Rara tempoh lalu.

“Syahmi sangat teruja selepas Kak Rara dan Suria FM berkeinginan untuk mempertemukannya dan idolanya. Ribuan terima kasih kepada Suria FM dan Kak Rara diatas peluang dan pengalaman yang sangat indah buat Syahmi.

“Kepada ibu bapa di luar sana, teruskan berjuang untuk anak-anak yang menghidap penyakit kanser atau apa sahaja penyakit kerana semangat mereka datangnya daripada kita selaku keluarga. Terus berikan kata positif sekaligus menyakinkan mereka untuk kekal melawan penyakit yang dihadapinya,” katanya.

Terkini, adik Syahmi sedang dirawat di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur disahkan mengidap penyakit kanser otot tahap 4 pada April 2021 sewaktu ulang tahunnya yang ke-14.

“Makin hari, saya jadi suka dengan kerja saya di  Suria FM kerana selain menghiburkan orang, saya juga berpeluang bertemu dengan orang-orang yang memerlukan. Ini sedikit sebanyak dapat berkongsi dan memberi kesedaran kepada semua pendengar Suria FM,” kata Rara lagi.

Jangan lupa saksikan momen YBae Pah bersama adik Syahmi berjumpa dengan idolanya, Safee Sali seorang lagenda bola sepak tanah air di semua digital platform Suria Malaysia dan di saluran Youtube Suria TV di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=r5z049la7Bo&t=35s

Selain itu, berita baik buat semua pendengar Suria, jangan lepaskan peluang dapatkan barangan eksklusif Suria dengan potongan sebanyak 50 peratus sempena ‘Jualan Hari Gaji’ sehingga 31 Julai ini.

By Cynthia

Leave a Reply