editor@aatvnews.com
SUBANG BESTARI, 30 Julai: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N38 Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mengingatkan pengundi di DUN tersebut agar tidak memperjudikan nasib mereka dengan memilih calon pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN2023) pada 12 Ogos.
Beliau berkata, rakyat perlu bijak membuat pilihan kerana PRN kali ini bukan lagi masa untuk ‘cuba-cuba’ (menukar Kerajaan Negeri) yang telah menunjukkan rekod yang baik sepanjang PH menerajui Selangor.
“Pesanan saya agar pengundi tidak cuba membawa Selangor kepada era Kelantan dan Terengganu. Ini bukannya masa untuk memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) memimpin DUN ini.
“Di Selangor ini saya yakin orangnya (tahu) menilai siapa pemimpin yang mampu membawa ke arah kebaikan..saya taknak sebut isu, tapi kita tengok demografi dan geografi ada orang memilih kerana parti, ada orang setia pada parti, ada orang memilih calon, ada orang memilih kepada isu tapi percayalah rakyat negeri ini hanya ada satu pilihan iaitu PH,” katanya ketika berucap pada Ceramah Arus Merah Kuning bersama Perdana Menteri di Subang Bestari malam tadi.
Khairuddin berkata, selepas penamaan calon pagi semalam, menerusi program kempen dan ziarahnya rata-rata pengundi yang ditemui menyatakan kesediaan mereka mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan kerana PN sendiri tiada rekod yang baik ketika mentadbir Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Tambahnya, kepimpinan politik PN yang lemah hanya akan merugikan rakyat dan tidak kira isu apa sekali pun sama ada isu lama atau baru, rakyat tiada pilihan lain selain mengekalkan Pakatan Harapan di Selangor.
“Keyakinan kita Selangor ini adalah negeri PH, tidak mungkin menjadi negeri PN, kerana dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu PN mendabik dada dapat menawan Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Namun, saya yakin parti lawan mungkin tidak akan tembus banyak (undian) di Selangor kerana orang negeri ini cerdik, bijak dan tidak akan termakan dengan hasutan perkauman, agama dan raja (dibawa pembangkang),” katanya.
Menurutnya, dengan kerjasama dua parti gergasi iaitu PH dan Umno-BN, beliau berkeyakinan penuh dapat mengekalkan kerusi DUN Paya Jaras malah komitmennya sebagai Setiausaha PH turut memberi jaminan bahawa BN-UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan PH dalam Selangor.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Umno-BN yang hadir dan bersama PH bagi menyatakan komitmen mereka untuk membantu mengekalkan kerajaan Selangor.
“Kalau Umno-BN menyatakan kesetiaan dan kesediaan mereka untuk menewaskan PN, tidak ada sebab kenapa orang lain tidak boleh bekerja keras untuk menumbang atau menewaskan PN,” katanya.