editor@aatvnews.com

KAJANG – Imej Kajang yang sohor kerana lubuk satenya, kini semakin dikenali dengan sejarah dan warisannya tersendiri.

Laluan Warisan Kajang atau dikenali Kajang Heritage Walk yang dilancar pada 2017 membuka lebih banyak ruang pelancongan untuk diterokai antaranya Pusat Warisan Kajang, tokong Shen Sze She Yar, kedai biskut klasik, kedai besi, pejabat Pos Lama Kajang, Masjid Jamek Kajang dan Restoran Sate Hj Samuri.

Ia sekali gus menolak anggapan Kajang sebagai bandar mati tanpa tarikan pelancong.

Lebih menarik lagi, terdapat sebuah kedai gunting rambut terletak di Jalan Reko Sentral, menyimpan ratusan koleksi antik termasuk pada zaman Perang Dunia Pertama, menguatkan lagi usaha menjadikan Kajang sebagai destinasi pilihan pelancong untuk dilawati di Selangor.

Pelanggan kali pertama terutama kanak-kanak ke premis berkenaan pasti teruja sebaik melangkah masuk dengan pemandangan koleksi berharga memenuhi setiap inci dan ruang premis C For Cut milik anak jati Selangor, Chen Jiunn Wei ini.

Bermula dengan sebuah radio usang dipercayai dari tahun 1950, milik datuknya, Jiun Wei, 40, kini memiliki pelbagai koleksi barangan lama antaranya kotak rokok era 90-an, sikat buatan tangan Sweden (70an), set kerusi, meja, cermin (30an), perakam kaset Walkman vintaj, pita rakaman, papan tanda jenama Kodak, patung figura, kereta mainan, seterika arang, mesin jahit dan bidai antik.

Istimewanya, terdapat patung puaka, Annabelle dan patung maskot badut Ronald McDonald yang pernah popular di seluruh dunia satu ketika dahulu, dan tidak lagi ditemukan di mana-mana restoran makanan segera, selain sebilah gunting Perang Dunia Pertama dengan ukiran buatan Amerika Syarikat tahun 1920, tersimpan di premisnya.

Jiunn Wei berkata, radio lama datuknya diletak di premis perniagaannya pada 2013, dan bermula sejak itu, koleksi dikumpul sedikit demi sedikit.

“Setiap barangan di kedai ini ada kenangan tersendiri. Setiap kali melihat sesuatu barang itu, pasti akan mengimbau kembali kenangan lama, sehingga buat saya rindu.

“Pelanggan juga suka datang ke sini, terutama kanak-kanak. Saya hanya akan beri koleksi pada kanak-kanak yang berminat seperti kereta mainan lama yang kurang mempunyai nilai estetiknya, tetapi tidak akan sesekali menjual khususnya barangan paling lama,” katanya kepada AATVnews, di sini.

Jiunn Wei kini mempunyai tiga orang pembantu di premisnya, dan dimaklumkan mengadakan promosi hari bekerja secara berkala.

Leave a Reply