editor@aatvnews.com

PETALING JAYA – Duo kembar, AishaHanim meraikan sedekad mewarnai dunia seni menerusi penganjuran Mini Konsert One Night With Aishahanim yang berlangsung dengan jayanya pada malam Ahad lalu di sebuah hotel.

Mempunyai kelompok peminat yang tersendiri, Aishahanim juga memiliki impian yang sama seperti penyanyi lain dan satu daripadanya adalah dengan menghadiahkan peminat sebuah konsert.

“Kami memang tidak sangka ramai sahabat dan kenalan yang sudi menaja kami baik daripada segi pakaian, mekap dan tempat konsert,” kata Aisha.

Konsert yang mendapat tajaan daripada Roxro dan Wyn Wyn Event itu berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran 500 tetamu yang masing-masing tampil dengan elegan bertemakan Black Tie, Black and Gold.

Aishahanim membuka pentas One Night Only Aishahanim dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu nyanyian semula Anggapanmu/ Robek Hatiku (Hanim), Akhirnya Kini Pasti/ Oh Teruna (Aisha) dan berduet lagu My Way.

Segmen pertama dibuka dengan penuh nostalgia kerana karya-karya yang dipilih merupakan lagu yang pernah dibawakan kedua-dua penyanyi itu dalam pelbagai pertandingan nyanyian sebelum ini.

Hanim sebelum in pernah menyertai Bintang RTM 2001 dan Aisha pula pernah menjuarai pertandingan realiti, Girl Are Ready NTV7 (2001).

Segmen kedua pula menyaksikan duo kembar itu menyanyikan lagu-lagu mereka yang banyak dipilih menjadi runut bunyi bagi drama-drama popular antaranya Syurga Nur, Bukan Gadis Biasa, Nikah Cerai Rujuk, Tabir Zulaikha dan banyak lagi.

Antara lagu yang dinyanyikan mereka adalah Dua Muka, Angkara, Tinggalan Cinta, Benar Cinta dan Mata Kunci Cinta.

Bagi segmen ketiga, Aishahanim memilih untuk menyanyikan lagu-lagu permintaan peminat antaranya I’m Alive, Pantun Janda, Kau Pergi Tapa Pesan, Ini Rindu, I Will Survive dan I Hate Myself For Loving You.

Malah mereka turut menyanyikan lagu berbahasa Cina, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin yang dipersembahkan sebagai kejutan kepada tetamu kaum Cina yang hadir.

Aishahanim berkata, mereka bersyukur apabila konsert berkenaan berlangsung dengan jayanya dan tetamu yang hadir turut berhibur dengan rangkaian lagu-lagu yang dinyanyikan oleh mereka.

“Apa yang kami dapat malam ini cukup membuat kami terharu dan membuat kami lebih semangat untuk terus menyanyi,” kata mereka.

Mereka juga menganggap konsert berkenaan sebagai hadiah dan penghargaan kepada semua pihak yang selama ini tidak putus-putus memberi sokongan sepanjang sepuluh tahun berada dalam industri seni.

“Kehadiran kami bukanlah untuk mencipta persaingan sebaliknya bagu menambah warna dalam industri seni tanah air.

“Perancangan kami selepas ini adalah untuk menghasilkan album dan mungkin ada konsert lain akan menyusul lagi selepas ini.

“Insya-Allah jika ada peluang mungkin kami akan tampil lagi dengan konsert dalam skala lebih besar,” kata Hanim pula.

“Semoga semua yang hadir terhibur dan berpuas hati dengan persembahan kami.

“Tanpa keluarga, sahabat, rakan media dan peminat, kami tidak akan dapat bertahan untuk 10 tahun yang lama ini,” kata mereka lagi.

Konsert malam itu turut dihadiri oleh tetamu terhormat, Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan juga yang berbahagia, Tan Sri Noh Omar.

One Night Only Aishahanim yang berlangsung selama dua jam itu juga menyaksikan kehadiran rakan-rakan artis, keluarga, rakan media dan peminat yang selama ini memberi sokongan kepada duo kembar itu.

Malah duo kembar itu turut menyantuni mereka yang kurang bernasib baik apabila menjemput persatuan OKU untuk sama-sama berhibur dalam konsert itu.

By Cynthia

Leave a Reply