PETALING JAYA – UMNO dilihat berada dalam keadaan tenat kerana presidennya Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi sendiri yang gagal mengemudi parti di landasan yang betul.
Mantan Setiausaha Agung Siswa Barisan Nasional (BN), Syed Mohd Syed Nasir berkata ini sehingga memberi kesan yang buruk kepada parti dan kedudukan UMNO yang dilihat tidak relevan lagi di mata rakyat.
“Pembuktian statistik dan jumlah kerusi yang disandang parti membuktikan bahawa rakyat menolak Zahid yang akhirnya memberi kesan yang sangat buruk pada kedudukan parti di mata rakyat.
“Benar kegagalan ini perlu dipertanggungjawabkan oleh semua pihak dalam parti, tapi apa asas dan punca kekalahan ini,” katanya.
Syed Mohd juga mempersoalkan adakah kerana UMNO itu sendiri atau kebencian rakyat pada sosok tubuh yang bernama Zahid.
Sementara itu, Syed Mohd berkata kepimpinan parti seharusnya mengambil contoh langkah Pemuda UMNO untuk mengadakan pertemuan khas.
Jelasnya, pertemuan khas tersebut tidak hanya terhenti sekadar dalam parti, namun turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pengundi.
“Jika kita masih mendabik dada, masih mengekalkan gaya ‘UMNO is a big brother’ dalam mana-mana gabungan, kita akan tetap kalah dan mungkin tidak wujud lagi.
“Contoh yang paling dekat adalah kekalahan teruk pengerusi perhubungan UMNO Negeri Selangor merangkap Setiausaha Politik Zahid Hamidi, (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) pun kalah dalam PRN tempoh hari,” katanya.
UMNO bersama BN pada PRN pada 12 Ogos lalu mengalami kekalahan teruk apabila hanya berjaya memenangi 19 kerusi daripada 108 yang ditandingi.
Susulan daripada kekalahan itu, UMNO dilihat sudah tidak menjadi pilihan utama dalam kalangan orang Melayu dan fenomena ini dilihat sejak PRU15 tahun lalu.
Sokongan Melayu kini dipercayai beralih kepada Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan.
Mengambil serius hal itu, Pemuda UMNO telah mengadakan Perhimpunan Khas Post Moterm PRN yang diadakan di International Youth Centre, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.