SHAH ALAM – ‘Saya sudah bersedia untuk dibicara, kerana mahu memperjuangkan keadilan,’

Demikian kata surirumah yang didakwa dengan pertuduhan membuat laporan palsu terhadap sebuah premis pemulihan, di sini, tahun lalu.

Zuraina Zamri, 45, berkata, dia menyatakan kesediaan itu berdasarkan pihak guamnya mempunyai dokumen berkaitan dalam isu pembuktian berhubung laporan berkenaan.

“Saya tiada masalah berdepan dengan perbicaraan dan akan patuh pada prosedur mahkamah kerana telah memberi kerjasama yang baik, sepanjang kes berlangsung,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memaklumkan permohonan representasi yang difailkan pihak Zuraina pada 20 Januari lalu, ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) semasa sebutan kes di hadapan Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali.

Mohamad Reza kemudian menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh penetapan perbicaraan.

Zuraina diwakili peguamnya, Muhammad Izzat Irfan Taib dari Tetuan Hanif & Co.

Zuraina sebelum ini dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah membuat laporan polis palsu di Balai Polis Taman Sri Muda pada 21 Ogos 2022, yang mendakwa sebuah premis merawat dan pemulihan Shah Alam telah mendera anak lelakinya yang juga seorang pelatih ketika mendapatkan rawatan di situ.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini, peguam mendedahkan laporan perubatan bekas pelatih sebuah madrasah di sini, menunjukkan wujud kecederaan dan trauma dipercayai didera.

Dokumen itu dikeluarkan seorang doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 11 November 2022.

Ia sekali gus bercanggah dengan kenyataan media Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada 26 September 2022 yang menafikan dakwaan penderaan terhadap seorang pelatih di Pertubuhan Kebajikan Darussolihin di Shah Alam.

Mohd Iqbal menerusi kenyataan medianya berkata, siasatan telah dilakukan terhadap pelatih berkenaan di Hospital Shah Alam, Selangor namun tiada kecederaan ditemui pada mangsa.

Susulan daripada siasatan itu, pengadu iaitu ibu kepada bekas pelatih madrasah berkenaan telah dituduh mengikut seksyen berkenaan.

Bagaimanapun Muhammad Izzat Irfan berkata, bekas pelatih berkenaan tidak pernah dibawa ke Hospital Shah Alam sebagaimana kenyataan polis pada September tahun lalu.

Keanehan turut berlaku apabila dokumen pendakwaan belum diterima pihak pembelaan pada 16 November 2022 yang menyebabkan sebutan tidak diteruskan.

Isu madrasah terbabit mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk menteri, selain isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Leave a Reply