KUALA LUMPUR, 4 Disember 2025 – Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengadakan majlis ringkas bersama barisan pemain lelaki dan wanita negara malam ini sebagai persiapan terakhir menjelang Sukan SEA Bangkok 2025. Majlis turut menyaksikan pengumuman senarai pendek pemain serta penyerahan rasmi jersi tajaan Puma dan sokongan berterusan TM.

Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan, menegaskan bahawa skuad negara kini berada pada tahap persediaan yang optimum selepas mengenal pasti dan memperbetulkan kelemahan daripada kejohanan-kejohanan lalu.
“Cabaran kali ini luar biasa – kita beraksi di gelanggang tuan rumah. Tapi saya yakin pemain kita datang dengan jati diri dan semangat yang sangat tinggi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Thailand dilihat cuba mengubah ‘taktikal kejohanan’ dengan meletakkan acara Team Regu sebagai acara pembuka tirai, bukan lagi acara terakhir seperti kebiasaan. Menurutnya, langkah ini mungkin strategi Thailand untuk menguasai emas awal seterusnya memberi tekanan psikologi kepada negara lain.
Namun, Dato’ Sumali optimis bahawa Malaysia mampu mencipta kejutan.
“Kita pernah kalahkan Thailand – di World Cup, Asia Cup, Kuadran. Kita tahu kemampuan kita. Kali ini kita mahu emas Sukan SEA yang diperoleh dengan menewaskan Thailand,” tegas beliau.
Beliau menyasarkan sekurang-kurangnya tiga aksi final untuk skuad lelaki dalam acara Team Regu, Regu dan Kuadran. Jika prestasi dan konsistensi memihak Malaysia, peluang untuk membawa pulang pingat emas dianggap realistik.


Dari sudut kebajikan pemain, Presiden PSM turut mengingatkan ASTAF agar menyediakan jadual dan venue yang lebih teratur selepas pengalaman sukar di Piala Raja Thai yang memaksa pemain beraksi hingga lewat malam.
PERSIAPAN MANTAP – TIADA KECEDERAAN SERIUS

Jurulatih kebangsaan pula memaklumkan bahawa persiapan terakhir menunjukkan perkembangan positif selepas sesi pemantapan seminggu di Ratchaburi, Thailand.
“Semua pemain berada dalam keadaan sihat, tiada kecederaan serius. Momentum yang kita bawa dari test match sangat baik,” ujarnya.
Skuad lelaki akan mempertaruhkan empat regu utama termasuk regu terkenal Negeri Sembilan Inter, regu Syahir, dan regu Sobeh bersama Zarif. Kapten pasukan ialah Farhan Adam, dibantu penolong kapten Azlan Alias.
Jurulatih optimis bahawa walaupun Thailand menurunkan barisan terbaik, Malaysia tetap mempunyai peluang mencipta kejayaan.
“Kita underdog, tetapi itu kelebihan. Kita mahu lihat kemampuan penuh pasukan sebelum fokus acara lain.”
Untuk skuad wanita, sasaran minimum adalah satu hingga dua pingat gangsa, terutamanya dalam acara Kuadran dan Regu. Malaysia juga akan membuat penyertaan taktikal dalam acara Cinglun meskipun ia bukan acara yang diberi fokus utama.

#TeamMalaysia #TakrawMalaysia #SukanSEABangkok2025 #RoadToBangkok #DemiEmas #AyuhMalaysia #PSM #TakrawLegend #MalaysiaBoleh #BangkitHarimau