JOHOR BAHRU, 8 Disember 2025 — Sesi perbincangan politik antara Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, dan Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, membuka perspektif baharu mengenai keberkesanan konsep WALI (Winable, Acceptable, Likeable) dalam penentuan calon Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah baru-baru ini.
Dr. Azam mempersoalkan sejauh mana kriteria WALI benar-benar diterapkan apabila BN hanya memenangi lima kerusi termasuk satu kerusi PBRS, selain kehilangan 12 deposit. Menurut beliau, penilaian terhadap konsep itu perlu diteliti semula menjelang PRN Johor, Melaka dan PRU16.
Menjawab persoalan tersebut, Dr. Norman menjelaskan bahawa konsep WALI sebenarnya baik dan relevan, namun kegagalan berlaku kerana ia tidak diikuti sepenuhnya oleh pihak yang membuat keputusan pemilihan calon.
“Konsep WALI ni bagus. Cuma isunya adakah ia diikuti 100% atau sekadar slogan untuk menunjukkan calon memenuhi ciri yang rakyat mahu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemilihan calon bergantung kepada jawatankuasa tertentu dan beliau di peringkat akar umbi hanya mampu membuat analisis berdasarkan perkembangan semasa.
Pengundi Muda Kini Lebih Dinamik
Dr. Norman turut menyentuh perubahan landskap politik Sabah yang didorong oleh pengundi muda. Menurutnya, generasi baharu tidak lagi mengundi secara totok, sebaliknya melihat kredibiliti calon terlebih dahulu berbanding lambang parti.
“Pengundi muda ni terbuka. Walaupun ahli UMNO atau BN, mereka tetap melihat calon itu turun padang atau tidak,” jelasnya.
Katanya, kemenangan calon bebas di Sabah turut membuktikan bahawa rakyat memilih mereka atas rekod kerja bersama masyarakat, bukan semata-mata kerana status “calon bebas”.
Reformasi Pemilihan Calon Dalam UMNO?
Dr. Azam turut mengulas langkah Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri yang sebelum PRN Sabah mengumumkan calon di Gerik iaitu Dr. Asyraf Wajdi. Beliau menyifatkan ia sebagai tanda pendekatan baharu dalam pemilihan calon, yang mengutamakan faktor kompetensi berbanding hirarki tradisional.
Di Sabah pula, katanya, Presiden turut memilih calon berdasarkan latar belakang dan gerak kerja tanpa mengikut susunan hierarki parti sepenuhnya.
Soal sama ada UMNO sedang memasuki fasa reformasi, Dr. Norman menyatakan bahawa beberapa faktor Sabah tidak boleh diterjemahkan 100% ke Semenanjung, terutama melibatkan situasi pecah undi dan kekuatan jentera.
Namun beliau menegaskan bahawa isu sebenar bukan sekadar hirarki parti, tetapi kelayakan calon dan keupayaan mereka mendekati masyarakat.
“Jika calon itu betul-betul layak dan turun padang, hierarki parti tak jadi isu. Masalah terjadi bila pemimpin sendiri tak turun padang,” katanya.
Beliau menambah, setiap kawasan mempunyai dinamik berbeza dan segala pendekatan perlu disesuaikan dengan realiti tempatan.
#AATVNews
#UMNO2025
#AnalisisPolitik
#KonsepWALI
#PRNSabah
#PRU16
#PolitikMalaysia
#CalonTurunPadang
#SuaraAkarUmbi
#BNBangkit