KUALA LUMPUR – Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saling bersatu menggesa pihak berkuasa lebih serius dalam menangani isu warga asing.

Susulan itu, mereka mencadangkan kerajaan untuk menggubal akta baharu dengan memperluas penggunaan sistem biometrik bagi menghapuskan isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Wakilnya, Presiden Nambikkai Kebangsaan Malaysia (Nambikkai), Datuk Dr Kalai Vanar berkata demi perikemanusiaan, cadangan ini perlu diutamakan kerana tidak mahu lagi rakyat terus hidup dalam kebimbangan akibat daripada situasi dalam isu itu, ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran.

“Dalam sistem biometrik, kami cadang supaya satu undang-undang digubal dengan segera untuk sistem biometrik atau apa saja berkaitan.

“Kita ada 222 Ahli Parlimen, boleh gubal undang-undang ini, bagi mengenalpasti, mengkaji mana-mana warga asing, diberi (penguatkuasaan) kepada siapa, siapa mengendali atau mengelola isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama beberapa NGO termasuk Persatuan Seni Silat, mengenai warga asing monopoli pertanian di Cameron Highland, Selayang, yang juga mencabar maruah rakyat dan kredibiliti kerajaan, di Restoran Madras Cafe, Jalan Ipoh di sini pada Khamis.

Beliau turut menambah, satu badan bebas (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dianggotai mereka yang berkecuali juga perlu dibentuk bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap warga asing sekali gus menghapuskan kebimbangan rakyat.

“Kita mohon supaya satu badan bebas dianggotai bekas hakim, bekas majistret, pegawai kanan kolonel daripada tentera, polis.

“Mereka lebih pantas, cekap dan handal dalam menangani isu ini,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Imigresen terlibat dalam sistem biometrik di pintu masuk negara atau pemeriksaan saringan kesihatan namun mahu menambah baik isu pengesanan warga asing yang menyeleweng pas lawatan.

Selangor juga terlibat dengan penggunaan sistem biometrik membabitkan pasar awam seluruh negeri itu pada 2022 bagi mengekang penyalahgunaan lesen.

Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mohd Mizan Aslam, pada 2020 turut mengesyorkan penggunaan pengenalan diri secara biometrik dan retina diintegrasikan dengan apa jua sistem selepas mengulas isu PATI memiliki kad pengenalan Malaysia dan bekerja di negara menjadi isu yang mengundang kebimbangan rakyat.