KUALA LUMPUR – Menyedari fesyen berpengaruh terhadap pengguna, jenama eksklusif tempatan, Mayang by Anntasya (MAYANG) melancarkan kempen MAYANGxJuliaFarhanaMarin sempena mempromosi kepentingan kesedaran kesihatan mental dan menghapuskan stigma dalam masyarakat.

Kolaborasi MAYANG, pelakon dan aktivis kesihatan Julia Farhana Marin bersama Pertubuhan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) melahirkan koleksi Iris Series meliputi kaftan dan tudung yang mempunyai makna tersendiri.

Pengasasnya seorang belia wanita jelita, Aina Natasya Nor Zaim, 28, begitu cakna dengan kepentingan kesihatan mental hari ini kerana beliau sendiri pernah mengalami ‘anxiety’ atau kerisauan melampau.

“Saya mahu membantu mereka yang ada masalah supaya bangkit meluah, kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman anxiety.

“Pemilihan Julia Farhana dan MMHA adalah penting bagi menyokong usaha ini, dan saya percaya ramai di luar sana tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan profesional.

“Kolaborasi ini membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan bantuan kepada MMHA,” katanya.

Beliau ditemui pada majis pelancaran MAYANGxJuliaFarhanaMarin sempena program kesihatan mental dan prapelancaran Timeless Lipmatte Series, di pekarangan utama, Starhill Gallery, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Julia Farhana dan pasangannya, Dr Che Hafiz; wakil MMHA, Khairul Bariah Jamlus; pengasas CocoDry, Kim May Chee serta selebriti dan pempengaruh tanah air.

Aina Natasya berkata, kempen berkenaan akan berlangsung selama enam bulan dan sebahagian hasil bagi setiap pembelian koleksi Iris Series berjumlah RM5 akan disalurkan kepada program bersubsidi di bawah MMHA.

“Sebenarnya koleksi busana ini ada makna, alasan memilih warna pastel dan rekaannya kerana ia berkaitan dengan kesihatan mental.

“Nama Mayang itu juga bermaksud ‘soft but strong’, diilhamkan oleh bapa saya semasa mencipta jenama ini yang melambangkan diri saya,” kata ‘content creator’ itu.

Katanya, koleksi elegan dan tampak mewah Iris Series menggunakan fabrik sutera korea, mempunyai empat warna pastel dengan corak ‘marble’ bagi kaftan pada harga RM249, selendang dan tudung empat segi dengan harga RM69.

MAYANG boleh didapati secara atas talian di www.mayangbyanntasya.com.my atau berdekatan kedai fizikal di Hotel Four Season, di sini.

Sementara itu, Julia Farhana yang mengakui mempunyai tauliah dalam program advokasi kesihatan mental berkata, beliau sentiasa mengutamakan diri dengan mempraktik untuk memahami keseluruhan cerita terlebih dahulu tanpa membuat andaian atau menghakimi sesiapa.

“Kalau orang nak kecam saya, persoal apa saya buat, silakan, tetapi tak semestinya saya kena terima.

“Sebagai pelakon, saya buat sesuatu, sebagai advocater kepada kesihatan mental, dan kalau terkena pada saya, saya anggap dugaan kepada saya.

“Saya hanya perlu ingat balik, apa objektif utama saya, siapa saya patut percaya dan siapa ‘support system saya,” jelasnya.