KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 anak angkat dan kanak-kanak tak sah taraf menerima status warganegara dalam tempoh 10 bulan, setakat ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau membuat keputusan terhadap 10,381 permohonan dalam tempoh berkenaan.

“Kebanyakan kesnya adalah anak angkat dan kanak-kanak tidak sah taraf.

“Saya tahu mereka tak boleh ke sekolah, nak ke hospital kalau sakit terpaksa bayar bil tinggi, sebab itu saya minta pegawai selesaikan ini dahulu,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Usaha itu bagaimanapun katanya, dijadikan isu politik sesetengah pihak di negara ini.

“Sebaliknya, kita ditohmah, luluskan puluhan ribu warganegara kepada rakyat China, ini jahat. Kalaulah mereka tahu pegawai berhempas pulas menguruskan perkara ini.

“Kalau angka ini juga dianggap Kementerian Dalam Negeri tidak serius, saya ucap terima kasih majulah sukan untuk negara,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui mengenai usaha penyelesaian isu kewarganegaraan dalam kalangan individu yang layak.