SHAH ALAM – Sekolah Amanah atau Trust School di bawah kelolaan Yayasan AMIR (YA) meliputi 94 rangkaian sekolah awam di 11 negeri di seluruh negara berupaya melahirkan murid berprestasi tinggi, berkualiti dan holistik bagi keperluan pasaran semasa akan datang.
Penasihat YA, Zaidah Shaari berkata Sekolah Amanah adalah sebuah program usahasama antara YA, Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan Kementerian Pendidikan (KPM) ke arah kluster pendidikan secara holistik.
Katanya, YA berkongsi aspirasi dengan KPM untuk melahirkan pelapis pemimpin yang lebih berdaya saing, berpengetahuan, kebolehan berfikir secara kritis, berkemahiran dan kreatif, yang dibentuk melalui penerapan Modal Insan Sekolah Amanah, diperkenalkan pada 2011.
“Matlamatnya adalah mentransformasikan pendidikan sekolah awam kepada lebih baik melalui modul latihan kepada guru, mengasah kemenjadian murid, sekali gus melahirkan produk yang boleh menjadi aset kepada negara.
“Proses ini bukan mudah, memerlukan komitmen guru menggunakan 14 kompetensi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PnP), tanpa mengubah silibus, dengan sasaran sekolah memenuhi sekurang-kurangnya 90 peratus daripada 235 indikator ditetapkan penyedia dan penaja dalam tempoh lima tahun.
“Program ini dibimbing oleh LeapEd Service Sdn Bhd, penilaian dilakukan setiap enam bulan sekali tetapi memperkasakan ia lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Persidangan Sekolah Amanah 2023 Ke Arah Transformasi Pendidikan Malaysia : Memupuk Kesiapsiagaan Masa Hadapan, di Geno Hotel, Subang Jaya, di sini yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober lalu.
Persidangan dua hari itu disertai sekolah-sekolah awam yang menyertai program Sekolah Amanah peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Pelbagai pengisian padat telah dirangka bagi memberi informasi kepada orang ramai berkenaan proses transformasi dan pencapaiannya.
Program dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Abdul Muie Ngah dan dikendalikan pengarah program, Azlina Shahrom itu dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YA, Yang Mulia Raja Arshad Raja Tun Uda.
Sementara itu, Zaidah bagaimanapun akui ada guru sukar menerapkan 14 kompetensi pada mulanya, antaranya prinsip PnP efektif, memberi peluang kepada murid untuk belajar secara kolaboratif dan pentaksiran yang berterusan namun usaha lima tahun itu akhirnya menampakkan hasil cemerlang.
“Ia seperti mewujudkan mini CEO di sekolah, guru besar perlu tahu bagaimana untuk kendalikan sekolah, apa yang penting bagi murid dan isi penyampaiannya dalam usaha transformasi secara holistik termasuk makcik kantin sekolah, pakcik pengawal keselamatan.
“Perkara pertama yang perlu diteliti dalam murid adalah keyakinan mereka. Program ini menjadikan murid bukan sekadar mendengar pengajaran guru tetapi mampu bertanya malah mampu mengajar semula kepada rakan sekelasnya,” jelasnya.
Beliau berkata, Sekolah Amanah kini mempunyai kira-kira 160,000 alumni dan 6,000 guru bersilih ganti sejak lebih 11 tahun lalu.
Katanya, program berkenaan mendapat 11 penaja termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional), Yayasan Hasanah, Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Yayasan Pahang, Westport, Yayasan Dayadiri, dan LeapEd, setakat ini.
Untuk makluman, YA diperbadankan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 26 Oktober 2010 sebagai yayasan yang tidak berasaskan keuntungan.