(PNB teruskan komitmen Kumpulan untuk melindungi keselamatan data dan privasi pemegang unit serta pemegang kepentingan.)

editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR, 28 November 2023: Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menganjurkan PNB Planet Cyber 2023 buat julung kalinya sebagai sebahagian daripada inisiatif Kumpulan untuk memupuk kerjasama antara industri, dalam menangani isu-isu keselamatan siber.

Bertemakan “Securing the Future: Elevating Cyber Resilience” (Menjamin Keselamatan Masa Depan: Meningkatkan Daya Tahan Siber), acara tersebut dianjurkan selaras dengan komitmen PNB untuk melindungi keselamatan data dan privasi pemegang unit serta pemegang kepentingan Kumpulan. Selain itu PNB juga ingin memupuk kesedaran keselamatan siber dalam kalangan mereka serta rakan-rakan industri dan korporat.

Majlis perasmian acara tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, “Ketahanan siber adalah penting dalam dunia digital hari ini kerana ancaman siber merupakan risiko yang berterusan dan sentiasa berubah.”

“Ketahanan siber bukan sahaja tertumpu kepada langkah pencegahan dan pertahanan terhadap kemungkinan serangan, tetapi juga keupayaan organisasi untuk menyesuaikan diri, pulih dan beroperasi kembali apabila berlaku breach atau pelanggaran,” tambah beliau.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk pemain industri bekerjasama untuk berkongsi pandangan dan strategi serta sentiasa mencari penyelesaian bagi mengukuhkan keselamatan organisasi,” jelas beliau lagi.

Pada majlis tersebut YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut melancarkan Hab Inovasi PNB yang dibangunkan oleh pasukan teknologi PNB. Hab tersebut berfungsi sebagai platform untuk warga kerja PNB menyumbang idea sebagai solusi yang lebih mampan untuk kemajuan syarikat.

PNB Planet Cyber 2023 menampilkan pelbagai pengisian antaranya perbincangan panel dan pameran yang memberi fokus kepada pelabagi topik seperti, Inovasi Teknologi dan Mengurus Risiko Siber, Penipuan atau Jenayah Siber, Kesediaan untuk Ancaman yang Berkembang dan Ketahanan Siber, Bakat Keselamatan Siber di Malaysia, serta Tinjauan Untuk Industri – Perniagaan, Digital/IT dan Sinergi Keselamatan Siber.

Acara tersebut disertai 300 peserta, dan 10 pempamer, antaranya termasuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Heitech Padu Berhad, Microsoft, ASK, Mandiant-Google, E-Lock Corporation Sdn Bhd, PwC Malaysia, Bluesify Solutions Sdn Bhd, CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Imperva, Jabatan Maklumat & Keselamatan Siber PNB dan Deloitte.

Leave a Reply