editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR, 29 Nov 2023 – Presiden Nasional GERAKAN, YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyatakan bahawa kerajaan Malaysia Madani di bawah kepemimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan sifat yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai dalam isu penghapusan tol lebuh raya.
Menurut Dr. Dominic Lau, beliau mengungkapkan kekecewaannya selepas menerima jawapan lisan Parlimen daripada Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta
Linggi yang bertanyakan sejauh mana komitmen dan pelaksanaan yang
telah diusahakan oleh Kementerian untuk mencapai matlamat penghapusan tol di lebuh raya.
Walaubagaimanapun, jawapan Menteri KerjaRaya amatlah mengecewakan kerana beliau dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan tol lebuhraya.
“Jika tol dihapuskan, bukan sahaja perlu menanggung kos bayaran pampasan yang tinggi kepada syarikat konsesi, malah kerajaan turut perlu menanggung kos penyelenggaraan jalan selepas jajaran
lebuhraya tersebut diambil alih, kata Dr Dominic Lau dalam satu kenyataan medianya.
“Dari pandangan ini, kerajaan dengan jelas memberitahu rakyat bahawa mereka tidak berniat untuk memenuhi janji-janji mereka sebelum pilihan raya. Oleh itu, janji-janji yang diumumkan oleh Pakatan Harapan sebenarnya hanyalah alat untuk menipu para pengundi,” kata Dr. Dominic Lau selepas menerima jawapan lisan dari Menteri Kerja Raya pada hari ini di Dewan Negara.
Tambah beliau, Menteri tersebut turut menjawab bahawa kerajaan telah menghapuskan lima plaza tol lebuhraya yang sebenarnya telah pun dilupuskan antara tahun 2011 hingga 1 Januari 2018 dibawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional.
“Dengan kata lain, selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan, mereka tidak menghapuskan sebarang tol lebuh raya. Sebaliknya, langkah-langkah penghapusan tol yang disenaraikan oleh Menteri adalah sebelum Pakatan Harapan berkuasa,” ujarnya.
Justeru, Dr. Dominic Lau turut menyeru rakyat Malaysia, khususnya pengundi berbangsa
Cina supaya melihat dengan jelas wajah sebenar Pakatan Harapan dan tidak lagi mudah percaya kepada janji-janji yang kelihatan ikhlas tetapi sebenarnya sukar untuk dilaksanakan.