KUALA LUMPUR – Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini tidak mengubah struktur di peringkat Negeri dan Persekutuan, kata Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.
Beliau berkata UMNO menerima kekalahan di PRK Kemaman berikutan masuk bertanding sebagai ‘underdog’ berikutan kerusi Parlimen itu dan Terengganu keseluruhannya merupakan kubu kuat PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Seperti dijangka memang itu kubu kuat PN dan PAS.
“Bukan satu Kemaman kita kalah seluruh negeri DUN dan Parlimen pada PRU15,” katanya kepada AATV News.
Keputusan PRK Kemaman pada minggu lalu menyaksikan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Raja Mohamed Affandi dengan 27,778 undi.
Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
Dalam pada itu, Gulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata majoriti peningkatan undi kepada PN perlu dilihat oleh partinya.
Katanya, perlu dilihat kembali faktor pengundi putih UMNO yang tidak keluar mengundi dan tidak memilih parti UMNO.
“Supaya ada satu ‘post mortem’ untuk lihat apa sebab 10,000 pengundi putih tidak keluar mengundi dan memilih kita.
“Perlu perkemaskan daripada segi ketepatan statistik yang kita unjurkan. Tidak boleh lihat daripada jumlah undi yang besar, iaitu hampir 100,000 pengundi dekat situ (Kemaman),” katanya.
Gulam berkata bagaimanapun mengambil sikap positif dan menganggap kakalahan itu hanya akan berlaku di Kemaman.
Beliau berkata sebagai ahli parti UMNO perlu meletakkan satu titik noktah dan berusaha lebih keras.
“Supaya pengalaman dan pengajaran, kita belajar di Kemaman perlu kita adaptasikan pada PRK lain dan PRU16.
“Ini supaya undi kita yang menyokong BN dan UMNO tidak tercicir lagi dan dapat lipatkan kali gandakan lagi undi mereka. Ini supaya pola pengundi 30% perlu tingkatkan ke tahap 60-70% kepada UMNO dan BN” katanya.