KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menggesa partinya supaya ‘move on’ (teruskan) dan bangkit daripada kekalahan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman minggu lalu.
Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari berkata UMNO perlu mengatur strategi untuk pulihkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kepada ahli UMNO di Kemaman, saya merayu, kita sedih boleh sedih, kecewa boleh kecewa tetapi jangan lama-lama.
“Kita perlu bangkit semula dan ‘move on’,” katanya kepada AATV News.
Keputusan PRK Kemaman pada minggu lalu menyaksikan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Raja Mohamed Affandi dengan 27,778 undi.
Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
Sementara itu, Rosni berkata secara peribadi terkejut dengan kekalahan BN di Kemaman.
Beliau berkata ini kerana BN telah meletakkan calon terbaik sekiranya diberi peluang berbakti kepada rakyat di Kemaman.
“Keputusan PRK Kemaman, secara jujurnya ingin menyatakan kita agak terkejut dengan keputusan tersebut.
“Ini kerana calon BN letak di Kemaman itu adalah calon terbaik kalau beliau diberi peluang menjadi wakil rakyat.
“Saya percaya dan amat yakin beliau dapat memberi khidmat terbaik dan orang Kemaman akan terjaga serta terbela. Bila dapat keputusan itu, saya amat dukacita dan terfikir sendiri apa sebenarnya orang Kemaman mahukan,” katanya.
Kata Rosni lagi, bagaimanapun jentera Wanita UMNO sudah dikerahkan membantu sehabis baik kepada BN di PRK Kemaman.
Bagaimanapun secara peribadi, beliau berkata 16 hari berada di Kemaman melihat semangat pengundi dan jentera UMNO masih belum pulih sepenuhnya.
Katanya, ini terutama selepas kalah pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.
“Semangat mereka masih belum pulih. Saya harapkan agar, pengundi di Kemaman agar dapat buat pertimbangan sehabis baik pada masa lain,” katanya.