editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2024 – Koperasi sekolah mampu menjadi wadah pendedahan dan latihan keusahawanan dalam kalangan remaja sebelum melibatkan diri secara serius dalam bidang perniagaan selepas tamat persekolahan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, terdapat dua cara untuk menjalankan perniagaan termasuklah secara peribadi dengan syarikat atau secara berkoperasi. Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing tetapi dengan koperasi, lebih banyak pihak boleh mendapat manfaat.
“Melalui program seperti MoodaFest 2024, para usahawan ini akan mendapat pentas untuk memasarkan produk mereka kepada khalayak serta mencipta jaringan dengan usahawan lain bagi mengembangkan lagi perniagaan.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu ditemui di MoodaFest yang berlangsung di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada 7 Januari 2024.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Acara yang dianjurkan oleh Kretip Malaya itu menampilkan beberapa aktiviti menarik seperti Karnival Mooda, Hari Kantin, Forum Mooda dan Malam Mooda Mudi.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga berkata, jika diberikan peluang, ANGKASA juga akan turut terlibat dalam MoodaFest selepas ini sebagai pempamer utama dengan membawakan usahawan dari koperasi sekolah dengan produk dan perkhidmatan ditawarkan mereka.
“Usaha ini mampu memperkenalkan gerakan koperasi khususnya koperasi sekolah kepada khalayak yang kurang cakna dengan koperasi selain memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain,” jelasnya.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berkata MoodaFest akan dibantu oleh Kerajaan agar penganjurannya dapat dilaksanakan setiap tahun dan dibawa ke seluruh negeri di Malaysia.
Usahawan juga akan dibantu sehingga produk yang terbaik dapat dipasarkan ke luar negara.
“Pada hemat saya, ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu anak muda. Antaranya adalah melalui agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi lainnya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Saya sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Keusahawanan dan PMKS Kebangsaan akan lakukan yang terbaik untuk bantu anak-anak muda ini,” kata beliau.
Tambahnya, kini terdapat banyak produk tempatan yang mempunyai potensi untuk dipasarkan ke luar negara.
“Buat masa sekarang, hampir 500,000 para usahawan yang mendaftar di bawah MARA. Kami akan memilih produk yang berpotensi untuk pasaran antabangsa termasuklah produk yang dipamerkan di program ini.
Malah, kami juga akan jemput para pempengaruh yang menghasilkan produk ini untuk dibantu, bukan sahaja dari segi pembiayaan tetapi juga dari segi mewujudkan pasaran di peringkat antarabangsa,” ulas beliau.
Kata beliau lagi, usahawan muda boleh mendapatkan bimbingan menerusi MARA sekiranya ingin memasarkan produk mereka ke luar negara.
“Ini kita akan lakukan melalui program khas Gate to Global (GTG) anjuran MARA yang menjadi pintu masuk untuk produk usahawan Bumiputera bersaing di peringkat global.”
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rodsy Wan Ismail, barisan Menteri dan ahli parlimen serta Pengerusi Kretip Malaya, Puan Nur Fazilla Rahim.
Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dan Pengerusi ANGAKSA Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain. – ANGKASA –