KUALA LUMPUR – Persatuan Penjaja dan Peniaga Overseas Union Garden (Persatuan Penjaja) telah membuat satu laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Kuala Lumpur selepas didakwa diganggu dan diminta bayaran oleh Persatuan Kebajikan Usahawan OUG Kuala Lumpur (Persatuan Kebajikan).

Peguam kepada Persatuan Penjaja, Kamarudin Ahmad berkata pihaknya meminta ROS untuk menyiasat tidakan Persatuan Kebajikan yang baru ditubukan tahun lepas itu yang didakwa telah meminta wang daripada ahli-ahli Persatuan Penjaja.

Persatuan Penjaja telah ditubuhkan hampir 20 tahun lalu dan mempunyai 300 ahli penjaja. Persatuan itu diberi tugas untuk menguruskan Pasar Pagi Taman Overseas Union Garden (OUG).

“Persatuan Kebajikan telah datang ganggu ahli persatuan lama (Persatuan Penjaja).

“Dia suruh (ahli Persatuan Penjaja) jadi ahli (Persatuan Kebajikan, minta bayaran RM120 seorang dan kutip sewa tapak hari-hari RM15 seorang,” katanya kepada AATV News.

Kata Kamarudin lagi, tindakan Persatuan Kebajikan kepada Persatuan Penjaja itu telah menyebabkan ahli-ahli mereka terbeban dan tidak tenteram.

Beliau berkata sebab itu laporan kepada ROS dibuat supaya ROS dapat menyiasat dan membatalkan mana-mana pertubuhan yang lari daripada tujuan didaftarkan.

“Dalam hal ini Persatuan Kebajikan berkata nak jaga kebajikan usahawan tetapi anak guam saya yang merupakan penjaja iaitu meniaga di tepi jalan pasar pagi telah diganggu.

“Saya sudah jelaskan kepada ROS dan mereka kata akan jalankan siasatan. ROS akan panggil wakil-wakil dan jawatankuasa Persatuan Kebajikan untuk hadir dan jawab aduan dibuat oleh Persatuan Penjaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina, Tony Tan menggesa ROS siasat tindakan Persatuan Kebajikan yang meminta bayaran kepada ahli-ahli Persatuan Penjaja.

Beliau juga meminta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membantu ahli-ahli Persatuan Penjaja yang diganggu.

“Kerajaan kata tak boleh rasuah tetapi datang minta wang,” katanya.

Leave a Reply