GEORGE TOWN – Ghazal Parti mungkin satu seni persembahan yang jarang didengar namun ia cukup popular di Utara Malaysia terutamanya Pulau Pinang.

Tidak mahu seni persembahan itu dilupakan, Pisang Production Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan menganjurkan persembahan Ghazal Parti yang diadakan di pusat beli belah Prangin Mall, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ghazal Parti ialah sebuah persembahan yang menggabungkan muzik, lagu, lawak dan tarian.

Gaya bahasa yang digunakan cenderung kepada dialek utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan merangkap Pengarah Program, Nik Nur Azlina Nik Ibrahim berkata, tujuan penganjuran ini diadakan untuk memberi pendedahan tentang Ghazal Parti kepada masyarakat terutamanya golongan muda tentang warisan seni budaya yang semakin dilupakan.

“Ia perlu dipelihara dan disemarakkan semula. Penggiat pelapis perlu diwujudkan bagi mengekalkan kesinambungan warisan seni ini agar ia tidak pupus di kemudian hari.

“Semoga warisan seni budaya negara kita dapat dipelihara dan dikekalkan hingga ke generasi seterusnya,” katanya.

Katanya, tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan persembahan Ghazal Parti ini termasuklah orang Pulau Pinang sendiri.

“Jika diikutkan Ghazal Parti ini sama popular seperti Boria tetapi disebabkan kurang pendedahan tidak ramai yang tahu mengenainya.

“Kami berharap inisiatif ini dapat menarik perhatian lebih ramai lagi terutamanya masyarakat Pulau Pinang sendiri.

“Sebagai anak jati Pulau Pinang saya akan terus menganjurkan persembahan ini supaya ia terus popular dan tidak akan dilupakan oleh generasi sekarang,” katanya lagi.

Pada persembahan Ghazal Parti itu turut diadakan Pertandingan Peragaan Pakaian Kreatif yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu 12 Tahun Ke-Bawah dan Terbuka.

Seramai lapan peserta telah mengambil bahagian bagi setiap kategori. Setiap pemenang menerima wang tunai, sijil dan piala.

Penganjuran itu juga turut mendapat sokongan ArtsFAS-Seni Sepanjang Musim, Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.

“Diharapkan lebih ramai lagi pihak berkaitan membabitkan diri dalam penganjuran persembahan seperti ini dalam usaha mengangkat dan memartabatkan seni persembahan negara agar tidak dilupakan,” kata Nik Nur Azlina lagi.

By Cynthia

Leave a Reply