editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR, 16 Januari 2024 – Sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan jumlah keahlian seramai 7.31 juta orang dengan nilai aset berjumlah RM159.61 billion setakat 31 Disember 2023 lalu.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan, setakat ini negeri Selangor dan Kuala Lumpur menjadi negeri paling banyak koperasi yang berdaftar.
“Di Kuala Lumpur kita mempunyai 3,286 koperasi dan Selangor pula mempunyai 2,114 koperasi.
Lawatan ini adalah yang pertama diadakan setelah YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Pengurusan Tertinggi SKM, Pengarah Bahagian dan Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan KUSKOP dan SKM.
Lawatan YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan ini juga dimulakan dengan sesi Walkabout ke Koperasi Usaha Bersama Berhad (KOSAMA).
“Koperasi ini menjadi tulang belakang negara dengan jumlah aset dipegang ahli koperasi sebanyak RM159.61 billion, katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat SKM disini.
SKM memperuntukan sejumlah RM11.75 juta bagi melaksanakan program-program pembangunan untuk manfaat koperasi-koperasi di Malaysia.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga berkata, jumlah tersebut merangkumi Program Pembangunan Perniagaan sebanyak RM6.75 juta, Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi sebanyak RM2 juta dan Program Penggalakkan Koperasi sebagai Social Enterprise (SE) sebanyak RM3 juta.
Tambah YB Ramanan, SKM turut menyasarkan 650 penubuhan koperasi baharu dan 32 pemulihan koperasi pada tahun ini.
“Pada tahun 2023, kita berjaya capai penubuhan 1,001 koperasi baharu dan untuk pemulihan pula kita sasar 35 pada tahun lalu tetapi berjaya membaik pulih 92 koperasi, katanya.
SKM turut sasarkan 427 pembatalan pendaftaran koperasi pada tahun ini, kata Ramanan
“SKM pada tahun lalu menyasarkan untuk membatalkan pendaftaran 440 koperasi tetapi telah capai 500 koperasi. Bukan niat kita untuk membatalkannya, tetapi ada yang saya dimaklumkan maklumat mengenai Pengerusi, Setiausaha Agung dan pertukaran alamat tidak dapat dikesan.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar, pihaknya sedang memproses permohonan peruntukan bencana untuk 36 koperasi yang terjejas akibat banjir dengan jumlah bantuan RM30,000 maksimum dimana daripada jumlah itu, 14 permohonan datangnya daripada Terengganu, Kelantan (7), Pahang (10), dan lima di Johor.
“Jumlah yang dimohon adalah RM600,000, namun kita ada peruntukan RM2 juta untuk membaik pulih premis mereka yang rosak, tanaman musnah dan sebagainya,” katanya