KUALA LUMPUR, 25 Januari 2024 – KEJAYAAN Malaysia mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan akhir Kumpulan E Piala Asia mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar menitipkan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang memberi tentangan sengit sehingga wisel penamat ditiupkan.

Katanya, aksi yang dipamerkan anak buah Kim Pam Gon dalam perlawanan ini merupakan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia.

“Tahniah Harimau Malaya beri tentangan sengit kepada Korea Selatan. 

“Terima kasih dari seluruh rakyat Malaysia. 

“Teruskan perjuangan kalian selepas ini, usah menyerah kalah,” katanya.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al Janoub, Qatar malam tadi, Malaysia bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun Harimau Malaya ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama apabila Jeong Woo Yeong menanduk masuk menewaskan Syihan Azmi pada minit ke-22 hasilkan sepakan penjuru.

Malaysia yang tewas dua kali kepada Jordan dan Bahrain sebelum ini berjaya mencipta sensasi pada separuh masa kedua menerusi jaringan cantik Faisal Halim pada minit ke-51 disusuli sepakan penalti yang disempurnakan Ariff Aiman enam minit kemudian sekali gus memimpin perlawanan 2-1.

Malaysia yang tewas dua kali kepada Jordan dan Bahrain sebelum ini berjaya mencipta sensasi pada separuh masa kedua menerusi jaringan cantik Faisal Halim pada minit ke-51 disusuli sepakan penalti yang disempurnakan Ariff Aiman enam minit kemudian sekali gus memimpin perlawanan 2-1.

Korea Selatan yang dikendali legenda Jerman, Jurgen Klinsman tersentak dan bingkas menyerang bertubi-tubi ke kubu Malaysia untuk mencari gol penyamaan.

Malaysia yang kental bertahan, bolos jua pada minit ke-85 menerusi sepakan percuma cantik Lee Kang-in.

Harapan Malaysia untuk mengutip mata pertama dalam Piala Asia sejak kali terakhir pada edisi 1982 seakan musnah apabila Korea Selatan menjaringkan gol ketiga hasil sepakan penalti yang disempurnakan Son Heung-min pada minit keempat masa kecederaan.

Ketika perlawanan menuju penghujung, penyerang naturalisasi baharu negara Romel Morales muncul penyelamat dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan sekali gus mencalarkan keegoan lawan. – HELLO MALAYSIA

Leave a Reply