editor@aatvnews.com
Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan bangga dengan pencapaian Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang telah membantu ramai golongan wanita menjadi usahawan.
Beliau juga memuji pengurusan AIM yang menjaya mencatat peratus bayaran balik pinjaman yang terbaik iaitu pada kadar 99.91 peratus.
Selain membantu Sahabat Usahawan yang sedia ada, Ramanan juga meminta AIM turut membantu kerajaan dalam usaha memastikan lebih banyak golongan miskin dapat dikenalpasti dan dibantu melalui kepakaran yang dimiliki AIM khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan.
Terdahulu, Ramanan hadir dalam lawatan kerja selaku Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke ibu pejabat AIM.
Kehadiran beliau disambut oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Bin Syed Junid, Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz serta pengurusan kanan AIM yang lain.
Kehadiran beliau juga disambut oleh 1,000 Sahabat Usahawan India yang hadir pada Himpunan Madani Sahabat Usahawan India AIM yang terdiri daripada Sahabat Usahawan India dari Wilayah Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Majlis yang diadakan di perkarangan Menara AIM di sini telah memberi peluang kepada Ramanan untuk beramah mesra, dan mendekati Sahabat Usahawan ini.
Dalam pada itu ketika sesi taklimat mengenai operasi AIM, Ramanan juga berkata AIM wajar dijadikan contoh oleh agensi-agensi lain di bawah KUSKOP. Malah beliau berkata, AIM bukan hanya sebagai agensi penyedia pembiayaan mikro, AIM sudah ibarat sebuah keluarga besar yang begitu dekat dan akrab dengan Sahabat.
Sejak ditubuhkan sehingga kini, AIM telah berjaya membantu ramai Sahabat Usahawan AIM dan golongan miskin dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro. Sehingga kini, AIM mempunyai seramai 322,733 Sahabat Usahawan AIM dengan mengusahakan pelbagai kegiatan ekonomi dari seluruh Malaysia. Dari jumlah itu, seramai 6,404 terdiri daripada Sahabat yang berbangsa India.
Untuk rekod, pada tahun 2023 AIM telah meluluskan sebanyak RM2.57 bilion pembiayaan, dengan bilangan peminjam semasa sebanyak 322,733 serta mencatatkan Non Performing Loan pada kadar 0.09%.
Manakala sejak ditubuhkan pada tahun 1987 AIM telah meluluskan sebanyak RM32.52 bilion dengan jumlah pinjaman (kumulatif) sebanyak 968,321. Ia juga telah mencatatkan jumlah jengkaun isi rumah yang dibantu untuk keluar dari garis kemiskinan sebanyak 3,783,284.