Daulat Tuanku !

Patik merafak sembah dan menjunjung kasih atas perlantikan DYMM Tuanku sebagai Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang ke 17.

Patik berikrar untuk menumpahkan taat dan setia patik kepada Duli Tuanku dan memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada negara dan sekelian rakyat Duli Tuanku.

Dirgahayu Tuanku !

Selain memberikan sembah takzim kepada DYMM YDPA yang ke 17, saya juga tertarik untuk mengulas isu yang dibangkitkan oleh Dato’ Nadzim Johan yang disiarkan oleh media Harakahdaily pada 30/1/2024.

Isu yang dibangkitkan adalah mengenai ‘ wang percuma ‘ dan masalah bankrap atau muflis dikalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Krisis kewangan sama ada peribadi, korporat atau negara memang bukan isu kecil. Ia adalah isu besar. Apatah lagi kita sekarang berada dalam krisis ekonomi dan kewangan global akibat dari Plandemik Covid 19 yang melanda dunia.

Krisis ekonomi dan kewangan ini sekiranya tidak ditangani dengan baik akan terus berpanjangan sebagaimana krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1998.

Sehingga ke hari ini Ringgit Malaysia tidak pernah kembali kepada nilai asal sebelum krisis 1998 itu iaitu RM 2.50 pada setiap USD 1.00.

Krisis ekonomi dan kewangan memberikan impak yang besar kepada kehidupan dan masa depan seseorang individu, syarikat dan juga negara.

Kenapa krisis kewangan berlaku ?

Apakah kerana kegagalan sistem perbankan dan kewangan itu sendiri atau kerana pengurusan kewangan baik secara peribadi, korporat dan negara yang tidak kompeten ?

Kesimpulan saya, kedua-duanya turut menyumbang kepada berlakunya krisis kewangan.

Ini kerana sistem perbankan dan kewangan hari ini yang mengamalkan fractional reserve banking, pemberian pinjaman yang memerlukan sandaran dan mengenakan kadar faedah atau kos kewangan yang ditetapkan oleh bank pusat.

Amalan ini akan membentuk kitaran hutang jangka pendek dan juga jangka panjang iaitu 10 tahun dan 100 tahun.

Amalan itu juga sebenarnya adalah satu proses penciptaan duit out of thin air yang dilakukan oleh tawaran kredit atau pinjaman oleh pihak bank.

Proses ini akan menyebabkan berlakunya kenaikan kadar inflasi yang diluar kawalan. Dan inilah yang akan menyebabkan krisis kewangan berlaku setiap 10 tahun dan 100 tahun.

Apabila keadaan atau krisis seperti ini berlaku maka akan muncul pula satu keadaan dimana ramai dikalangan para peminjam baik secara individu atau korporat yang gagal untuk membayar balik pinjaman mereka. Maka sudah pasti tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka.

Maka muncullah fenomena yang kita kenali sebagai bankrapsi atau muflis. Bukan sekadar individu atau korporat sahaja yang bankrap atau muflis bahkan ada juga negara yang mengalami nasib yang sama.

Di sisi yang lain, walaupun ada tetapi jarang sekali kita mendengar pemberi pinjaman yang bankrap atau muflis. Kalau pun berlaku pasti pihak kerajaan akan melakukan proses bail out kepada para pemberi pinjaman.

Keadaan ini tidak berlaku kepada para peminjam. Tidak ada mana-mana kerajaan yang berusaha untuk bail out para peminjam kecuali kepada pihak bank dan korporat- korporat yang besar sahaja.

Keadaan ini yang sering dilihat sebagai tidak adil oleh masyarakat.

Maka jelas sistem dan amalan perbankan dan kewangan seperti hari ini hanya menguntungkan pihak pemberi pinjaman sahaja iaitu pihak bank atau para kapitalis. Bukan kepada golongan para peminjam.

Jadi, isunya sekarang kalau sekiranya krisis kewangan dianggap sebagai suatu bencana atau mala petaka yang besar maka kenapa sistem pinjaman dan kadar faedah ini perlu diteruskan dan diamalkan ?

Dan yang kedua, kalau isu kewangan dan pengurusan kewangan ini begitu penting kenapa ilmu kewangan dan pengurusan kewangan tidak diajar di sekolah pada peringkat yang paling awal iaitu di sekolah rendah ?

Pada masa ini jangankan soal kewangan peribadi atau korporat malah kewangan negara sendiri pun berada dalam keadaan yang kritikal.

Mana mungkin tidak kritikal kalau hutang negara sudah melebihi RM 1 trillion dan belanjawan defisit selama 26 tahun ?

Lalu apa sebenarnya yang perlu dilakukan untuk memulihkan kembali kewangan negara ?

Apakah tidak wajar untuk melakukan proses reformasi dan transformasi kepada sistem perbankan dan kewangan negara ?

Atau apakah kita sedang menunggu ketibaan seorang hero monetari dan kewangan atau seorang ahli silap mata atau mujaddid ekonomi yang bakal turun dari langit dengan mukjizatnya untuk menyelesaikan krisis kewangan dan ekonomi negara ?

Apakah hero yang dinantikan itu bakal melakukan reformasi dan transformasi sistem monetari dan kewangan serta ekonomi negara secara drastik dan radikal ?

Kalau benar hero seperti itu ada dan bakal turun dari langit sudah bersediakah rakyat Malaysia atau kita semua untuk menerima perubahan yang drastik dan radikal itu demi kepentingan dan kemakmuran kita semua ?

Semoga perlantikan dan pertabalan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar sebagai YDPA Malaysia yang ke 17 membawa sinar baru kepada rakyat dan negara ini yang bernaung di bawah payung pemerintahan Baginda.

Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik dan ekonomi bebas.
31 Januari 2024

Leave a Reply